Sekolah kosong dijadikan pusat judi

LANGKAT – Tular video puluhan mesin judi ditemui dalam bangunan sekolah kosong di Desa Lau Damak, Bahorok, mencetuskan kemarahan pihak berkuasa tempatan.
Pegawai Daerah Langkat, Syah Afandin menyifatkan kejadian itu sebagai tidak boleh diterima dan menggesa polis menyiasat sehingga ke akar umbi.
“Saya sangat mengecam dan mahu polis siasat sehingga ke lubang cacing,” katanya pada Khamis.
Sekolah tersebut, SD Negeri 050655, telah lama tidak beroperasi sejak dua tahun lalu.
Bagi mengelak lokasi itu terus dijadikan sarang kegiatan haram, empat penjaga telah ditempatkan serta-merta.
Video tular memaparkan barisan mesin judi tembak ikan dan 'dingdong' tersusun dalam dan luar bilik darjah dengan dilitupi kain terpal.
Ketua Polis Langkat, AKBP David Triyo Prasojo mengesahkan semua peralatan judi itu telah disita dan disimpan di Balai Polis Bahorok.
Seorang lelaki dikenali sebagai BT disoal siasat selepas didakwa menyimpan mesin judi tersebut sejak 2023.
BT mengaku membeli dan menyewakan mesin berkenaan, namun polis masih menyiasat sama ada ia digunakan untuk tujuan perjudian.
Turut dipanggil memberi keterangan ialah pegawai dari Dinas Pendidikan Langkat berhubung penggunaan premis sekolah untuk kegiatan tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
