Lelaki Myanmar bunuh rakan sebilik, sembunyi 10 hari sebelum dicekup

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki warga Myanmar yang disyaki membunuh rakan sebiliknya di sebuah tapak pembinaan di Bandar Utama di sini, berjaya ditahan polis selepas 10 hari melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia 59 tahun itu diberkas dalam satu serbuan di sebuah rumah di Simpang Ampat, Pulau Pinang pada Rabu.
“Ketika serbuan, suspek cuba melarikan diri namun berjaya diberkas. Polis turut merampas sebuah telefon bimbit berwarna keemasan yang dipercayai milik suspek,” katanya pada sidang media, Khamis.
Menurut Hanyan, kejadian berlaku kira-kira jam 11.40 malam pada 20 Julai lalu, selepas polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengawal keselamatan yang memaklumkan terdapat seorang lelaki warga asing ditemui mati di tapak pembinaan terbabit.
“Siasatan awal mendapati mangsa, dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an, mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan perut.
“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat tikaman di bahagian dada dan perut,” katanya.
Beliau berkata, mangsa dan suspek merupakan rakan sebilik dan bekerja sebagai buruh binaan di lokasi sama.
“Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham ketika kedua-duanya berada dalam keadaan mabuk, sebelum berlaku pergaduhan yang membawa kepada insiden bunuh,” jelasnya.
Tambah beliau, selepas kejadian, suspek bertindak melarikan diri dan bersembunyi di Pulau Pinang sebelum berjaya diberkas menerusi operasi khas polis di sekitar daerah Kuala Muda dan kawasan berhampiran.
“Suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan tiada rekod jenayah lampau. Dia kini direman selama enam hari bermula 31 Julai bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman mati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

