'Gara-gara ikut petua internet, jari bayi hampir dipotong'
Seorang wanita di China membalutnya dengan niat menghentikan tabiat menghisap jari yang dianggap tidak bersih

CHANGSHA – Seorang ibu muda di China hampir menyebabkan jari telunjuk bayinya terpaksa dipotong selepas membalutnya dengan niat menghentikan tabiat menghisap jari yang dianggap tidak bersih.
Menurut laporan South China Morning Post, bayi perempuan berusia 11 bulan yang dikenali sebagai Lele dibawa ke Hospital Kanak-Kanak Hunan pada 14 Julai lalu selepas jarinya membengkak dan bertukar keunguan.
Ibu Lele memberitahu doktor bahawa dia membalut jari anaknya secara ‘longgar’ selepas membaca petua dalam talian yang mendakwa kaedah itu boleh menghentikan tabiat menghisap jari, kononnya tidak baik untuk kebersihan dan pertumbuhan gigi bayi.
Namun keesokan paginya, keluarga terkejut apabila mendapati keadaan jari Lele semakin parah.
Doktor Luo Yuanyang berkata sebahagian kulit dan tisu jari telah mati, dan jika mereka lambat mendapatkan rawatan, jari tersebut mungkin perlu dipotong.
Lele bernasib baik kerana rawatan segera berjaya menyelamatkan jarinya. Tisu yang rosak telah dibuang dan pertumbuhan semula dijangka mengambil masa dua hingga tiga minggu.
Menurut Luo, adalah normal bagi bayi bawah umur satu tahun menghisap atau menggigit jari kerana ia merupakan cara mereka meneroka dunia.
“Kebiasaan ini biasanya hilang apabila kanak-kanak berusia dua atau tiga tahun. Ibu bapa hanya perlu pastikan tangan bayi sentiasa bersih,” jelasnya.
Hospital turut mendedahkan bahawa beberapa kes serupa dilaporkan sejak kebelakangan ini – termasuk ibu bapa yang mengikat jari bayi dengan getah dan ada juga yang memakaikan sarung tangan secara berterusan.
Doktor menasihatkan agar ibu bapa tidak mengikut petua rawak dari internet dan sebaliknya mendapatkan nasihat profesional sekiranya risau dengan tabiat anak.
“Menjadi ibu bapa memerlukan pengetahuan dan mereka yang jahil boleh membahayakan anak masing-masing mereka,” kata seorang netizen. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
