[VIDEO] Dewan Rakyat kecoh gara-gara isu sampah 20 tan

A
A
A

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat sesi pagi pada Isnin kecoh seketika apabila isu 20 metrik tan sampah yang ditinggalkan peserta Himpunan Turun Anwar di ibu negara pada Sabtu lalu dibangkitkan.

Kekecohan tercetus apabila Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim mempertikai jumlah yang dinyatakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung sisa sampah yang dikutip.

Selain mendakwa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menipu dengan angka yang disebut sebelum itu, Awang turut mempersoalkan jumlah 20 metrik tan sampah yang didakwa tidak sepadan dengan jumlah 18,000 peserta yang hadir ke perhimpunan berkenaan seperti yang disahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Yang dikatakan sampah 20 metrik tan itu bukan dari saya, tapi laporan daripada SWCorp yang saya terima di lapangan, sehingga ratusan pekerja kita dikerahkan untuk membersihkan sampah selepas perhimpunan berbaju hitam.

“Saya tidak nafikan ada sekumpulan Unit Amal yang membantu membersihkan sampah. Saya ucapkan terima kasih, tapi tidak boleh nafikan juga 20 metrik tan sampah bersepah di SOGO, Dataran Merdeka dan Jalan Petaling. Itu laporan SWCorp,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Suasana kecoh seketika di Dewan Rakyat gara-gara isu sampah 20 tan.
Suasana kecoh seketika di Dewan Rakyat gara-gara isu sampah 20 tan.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Kor Ming, Awang sekali lagi menegaskan bahawa fakta yang diberikan adalah tidak betul.

“Tunjuk fakta 20 tan sampah. Baru saya tak kata penipu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kekecohan yang berlanjutan selama beberapa minit itu bagaimanapun kembali reda apabila Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau memberi amaran kepada Awang agar tidak terus menimbulkan perbalahan.

Kor Ming sebelum ini dilaporkan berkata, para pekerja pembersihan terpaksa bersengkang mata sehingga jam 3.30 pagi bagi mengutip 20 tan sampah yang ditinggalkan peserta himpunan anjuran pembangkang itu.

Katanya, mereka bertungkus-lumus membersihkan sisa kotoran memandangkan kawasan terlibat merupakan lokasi tumpuan pelancong di ibu kota.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan bahawa seramai kira-kira 18,000 orang telah menghadiri himpunan aman tersebut.

Ujarnya, semua elemen kawalan keselamatan telah dilaksanakan secara profesional dan beretika.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!