Anggota polis maut dalam perjalanan ke tempat kerja

ISKANDAR PUTERI – Seorang anggota polis wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 28, Jalan Gelang Patah–Pendas ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa, Koperal Fairuzfadila Musa, 37, memandu kereta jenis Proton Saga dari arah Gelang Patah menuju ke Skudai untuk bertugas di Balai Polis Taman Universiti.
“Sebaik tiba di lokasi, sebuah Proton Waja dari arah bertentangan dipercayai membelok ke simpang kiri secara tiba-tiba dan melanggar lampu isyarat merah sehingga menyebabkan kemalangan.
“Akibatnya, kedua-dua pemandu mengalami kecederaan parah dan segera dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kumarasan memaklumkan, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat kecederaan serius di kepala dan badan.
“Seorang lagi wanita, pemandu Proton Waja berusia 41 tahun, masih tidak sedarkan diri dan sedang menerima rawatan di hospital terbabit.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya,” ujarnya.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) KUP Nurmala Sideli berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 7.33 pagi.
“Kedua-dua mangsa, masing-masing menaiki Proton Saga dan Proton Waja tersepit di dalam kenderaan.
“Pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas penyelamatan kemalangan jalan raya (Road Traffic Accident – RTA) bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

