Wanita maut, adik parah nahas dua kereta

KEPALA BATAS - Seorang wanita maut manakala adiknya cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain di Jalan Taman Bertam Perdana, di sini pada pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.37 pagi itu, mangsa, Khirul Mazwan Mustafa, 41 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adiknya, Khirul Asmaa Mustafa, 37, patah kaki kiri.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kenderaan jenis Proton Wira yang dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai bertembung dengan kereta jenis Peugeot yang dipandu lelaki berusia 28 tahun.
"Akibat kejadian itu, dua beradik itu tersepit di bahagian hadapan manakala pemandu Peugeot hanya mengalami cedera ringan.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam yang menerima laporan kejadian bergegas ke lokasi kemalangan dan segera menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Difahamkan ketika kejadian laluan berkenaan licin berikutan hujan lebat.
John Sagun berkata, mangsa yang cedera diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Katanya, mayat mangsa pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Difahamkan kedua mangsa dalam perjalanan pulang mencari rezeki selepas berniaga nasi lemak di kawasan Petronas Kiosk Bertam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

