Bekas jurujual kereta simpan kerambit dipenjara 12 bulan, 1 sebatan

Seorang bekas jurujual kereta dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah memiliki kerambit sepanjang 15 cm di Bangsar - Gambar hiasan
Seorang bekas jurujual kereta dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah memiliki kerambit sepanjang 15 cm di Bangsar - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas jurujual kereta dihukum penjara 12 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin kerana menyimpan senjata jenis kerambit tahun lalu.

Faizal Mohd Kamaruzzaman, 41, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan di hadapan Hakim, Mazuliana Abdul Rashid.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara bermula tarikh tangkapan, 2 Disember 2024.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki satu pisau berbentuk kerambit sepanjang 15 sentimeter bertujuan menyebabkan kecederaan di tepi Jalan Telawi 1, Bangsar di sini pada jam 11.45 pagi, 2 Disember 2024.

Bapa kepada empat anak itu dituduh mengikut Seksyen 3 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam, Tamara Anthony yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana dia telah menyesal dan insaf.

“Dia merupakan penanggung tunggal keluarga, perlu menyara anak-anak yang berusia 10 hingga 17 tahun.

“Kami mohon hukuman penjara yang minimum dan satu sebatan sekiranya perlu selain hukuman berkuat kuasa dari tarikh tangkap,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pengajaran kerana kesalahan itu boleh mengundang bahaya kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!