Jelajah Joran Pantai Timur tawar hadiah RM18,600

SETIU – Hadiah wang tunai berjumlah RM18,600 menanti pemenang pertandingan memancing Jelajah Joran Pantai Timur (JJPT) yang akan berlangsung di Pantai Rhu Sepuluh (Kampung Mangkuk) di sini pada Sabtu ini.
Jurucakap penganjur, Sharudin Adnan berkata, juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, naib juara menerima RM1,000 dan tempat ketiga pula akan memenangi RM500.
Menurutnya, pemenang keempat menerima RM300, kelima RM200 manakala tempat keenam hingga 60 masing-masing menerima RM120 dan pertandingan anjuran West Coast Surfcaster (WCS) itu merupakan siri kedua daripada tiga siri JJPT tahun ini.
“Acara yang mendapat sokongan Tourism Malaysia bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 ini akan bermula pada jam 9 pagi hingga 1 petang.
“Kaunter pendaftaran dibuka di lokasi pertandingan bermula jam 5 petang Jumaat hingga 9 malam dan bersambung pada jam 7 pagi pada Sabtu hingga pertandingan dimulakan,” katanya pada Isnin.
Beliau memberitahu, Pantai Rhu Sepuluh (Kampung Mangkuk) merupakan lokasi JJPT siri kedua pada tahun lalu.

“Ini kali kedua JJPT diadakan di sini. Selepas acara pertama tahun lalu, lokasi ini telah mendapat perhatian pemancing apabila ramai yang mengunjungi pantai ini pada hujung minggu untuk memanccing.
“Malah, selepas acara tahun lalu pantai ini telah dijadikan lokasi pertandingan memancing sebanyak tiga kali oleh penganjur berbeza,’’ katanya.
Beliau berkata, kejayaan pemancing menaikkan ikan pari 18 kilogram (kg) di JJPT tahun lalu merupakan antara faktor utama pantai berkenaan menjadi perhatian kaki pancing.
Sharudin menambah, bagi menggalakkan kehadiran peserta, penganjur menetapkan yuran RM55 untuk satu joran manakala bagi pemancing orang kurang upaya (OKU) pula hanya perlu membayar RM45.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
