282 unit PPR Rembau masih kosong, permohonan kini dibuka

PPR Rembau siap selepas lima tahun, sedia diduduki kepada pemohon yang layak.
PPR Rembau siap selepas lima tahun, sedia diduduki kepada pemohon yang layak.
A
A
A

REMBAU – Pasangan suami isteri yang berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan layak memohon skim perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Rembau di sini yang masih berbaki 282 unit belum diisi.

Menurut Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar, permohonan secara dalam talian telah dibuka sehingga 10 Ogos depan.

Menurutnya, projek yang dibangunkan di Mukim Chembong itu melibatkan keseluruhan 452 unit rumah teres, dengan 166 daripadanya telah ditawarkan kepada pemohon yang layak.

"Permohonan dibuka kepada mereka yang memenuhi syarat ditetapkan, antaranya pemohon dan pasangan merupakan warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

"Berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan dan tidak pernah memiliki rumah atas nama pemohon atau pasangan," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, skim perumahan itu ditawarkan melalui kaedah sewa beli pada harga RM40,000 seunit dengan bayaran bulanan dianggarkan sekitar RM250.

Tambahnya, permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web rasmi: https://sprn.kpkt.gov.my.

Projek ini merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama kerajaan negeri untuk menyediakan akses perumahan kepada golongan berpendapatan rendah.

PPR Rembau melibatkan kos pembinaan sebanyak RM91.2 juta dan kini telah siap sepenuhnya serta sedia untuk diduduki selepas lima tahun dalam pembinaan.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, PPR berkenaan yang mula dibangunkan pada 4 Mac 2020 telah disiapkan sepenuhnya dan diserahkan kepada Jabatan Perumahan Negara pada 27 Februari lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!