Suami isteri, empat anak dilaporkan hilang

JITRA - Sepasang suami isteri bersama empat anak mereka termasuk seorang bayi berusia enam bulan dilaporkan hilang selepas bermalam di rumah ahli keluarga di Taman Aman dekat sini sejak pagi Sabtu.
Kehilangan Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, serta empat anak mereka berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun disedari apabila mereka tidak pulang ke rumah di Jerlun dan gagal dihubungi.
Adik kepada Mohd Azim, Nur Adliah Shuhada berkata. abangnya sekeluarga datang bermalam di rumahnya seperti kebiasaan pada Jumaat.
“Saya sangka mereka sudah pulang ke Jerlun seperti biasa kerana abang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan biasanya keluar awal pagi manakala kakak ipar pula berniaga.
“Tapi bila ibu mentua abang hubungi saya dan maklumkan mereka tidak sampai ke rumah, saya mula rasa tak sedap hati,” katanya pada Ahad.
Nur Adliah Shuhada berusia 20-an berkata, anak sulung pasangan itu yang berusia 12 tahun tidak ikut serta dan tinggal bersama nenek di Jerlun.
“Malam sebelum kejadian, kami berbual seperti biasa. Abang dan kakak ipar tak pernah cerita mereka ada masalah.
“Saya cuba hubungi telefon mereka berkali-kali tapi tak dapat sampai sekarang,” ujarnya.
Tambahnya, pada pagi Sabtu dia menerima maklumat mengenai penemuan sebuah kereta Proton Saga versi lama dalam Sungai Korok, namun nombor pendaftaran tidak sepadan dengan kenderaan milik abangnya.
Susulan itu, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jitra dan usaha mencari sedang giat dijalankan termasuk menyemak laluan biasa yang sering digunakan keluarga berkenaan.
“Saya risaukan anak-anak abang, terutama yang bongsu baru enam bulan. Tiga lagi masih bersekolah. Kami juga sebarkan maklumat kehilangan ini di Facebook,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan pasangan suami isteri bersama empat anak mereka.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Nur Adliah Shuhada di talian 011-64408196 atau 011-60816922 bagi membantu pencarian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!