Semua aktiviti di masjid, surau termasuk solat Jumaat ditangguh bermula esok

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

SHAH ALAM - Semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah ditangguhkan selama 10 hari bermula esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keputusan itu dicapai selepas taklimat yang disampaikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan perbincangan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia

Beliau berkata, jawatankuasa masjid dan surau disarankan melakukan operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan mengelakkan jangkitan.

"Tempoh 10 hari adalah tertakluk kepada nasihat dan pandangan KKM dan mendapat titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Zulkifli berkata, sekiranya berlaku kematian akibat koronavirus (Covid-19), pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-107 yang bersidang pada 10 hingga11 Februari 2015 mengenai hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang Disyaki atau Disahkan Dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Disease:EVD) di Malaysia.

Menurutnya, kelonggaran diberikan jika ada kemungkinan wujud kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah.

"Jenazah boleh diuruskan melalui prosedur tayammum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah tersebut.

"Bagi pelaksanaan perihal penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau serta panduan pengurusan jenazah Covid-19, Muzakarah menyerahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri.

Artikel Berkaitan:

"Dengan titah perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, pelaksanaan kedua-dua perkara itu adalah terpakai di Wilayah Persekutuan," katanya.