Ketua Hakim Negara baharu angkat sumpah esok

SHAH ALAM – Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bakal mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 dalam satu majlis rasmi yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara pada esok, 28 Julai 2025.
Pelantikan beliau dibuat bagi menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang telah bersara daripada jawatan berkenaan pada 2 Julai lalu.
Turut akan mengangkat sumpah dalam majlis sama ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan serta Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak bagi menggantikan penyandang terdahulu yang telah bersara.
Selain itu, seramai lapan Hakim Mahkamah Rayuan dan 14 Hakim Mahkamah Tinggi yang baharu juga dijadualkan menerima surat pelantikan dan mengangkat sumpah dalam majlis berkenaan.
Wan Ahmad Farid, 62, berasal dari Kuala Terengganu, memulakan kerjaya dalam bidang perundangan selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) daripada University of West London pada tahun 1985 dan Sijil Amalan Guaman (Certificate in Legal Practice – CLP) daripada Universiti Malaya pada tahun 1986.
Beliau memulakan kerjaya sebagai peguam bela dan peguam cara di Tetuan Adnan & Wee, Kuala Terengganu dari tahun 1987 hingga 2003.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dari 2003 hingga 2008, sebelum menyandang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dari tahun 2008 hingga 2009.
Selepas kembali ke bidang guaman antara 2011 hingga 2015 di Tetuan Wan Farid & Surin, Kuala Lumpur, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada tahun 2015 dan telah berkhidmat di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Kuala Lumpur dan Kota Bharu sehingga 2019.
Pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi kemudiannya disusuli dengan perkhidmatan di pelbagai bahagian termasuk Bahagian Kuasa-Kuasa Khas.
Pada 12 November 2024, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.
Sepanjang perkhidmatan kehakimannya, beliau telah mengendalikan beberapa kes berprofil tinggi, termasuk kes berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan serta pertikaian tanah melibatkan Semantan Estate Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan.
Pelantikan ini mencerminkan kesinambungan dalam institusi kehakiman negara serta kepercayaan tinggi terhadap integriti dan kewibawaan Wan Ahmad Farid dalam menerajui badan kehakiman Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

