'Counter setting': Sejauh mana keselamatan pintu masuk negara kita?

PENAHANAN seorang pegawai penguat kuasa yang bertugas di kaunter pemeriksaan masuk Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan ‘counter setting’ sekali lagi membuktikan kebocoran integriti masih berlarutan di pintu sempadan negara.
Pegawai terbabit ditahan pada jam 9.20 pagi Khamis lalu selepas tindakannya yang mencurigakan dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) oleh Unit Pemantau dan Unit Integriti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Pemeriksaan ke atas suspek menemui wang tunai berjumlah lebih RM8,000, tiga peranti komunikasi serta beberapa catatan nombor pasport, dipercayai berkaitan aktiviti penyeludupan individu secara tidak sah melalui laluan rasmi.
Catatan itu mengandungi empat digit terakhir nombor pasport, dipercayai digunakan untuk mengatur laluan keluar masuk bagi warga asing yang tidak layak melepasi sempadan negara secara sah.
Walaupun siasatan dalaman sedang dijalankan sebelum suspek diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, kes ini sekali lagi menimbulkan persoalan berapa ramai lagi pegawai yang masih terlibat dan belum dikesan?
Ia bukan insiden pertama malah sejak tahun lalu, lebih 50 penguat kuasa termasuk pegawai imigresen dan ejen sindiket telah ditahan dalam kes serupa. Namun, kejadian seperti itu tetap berulang dengan modus operandi yang hampir sama.
Lebih membimbangkan kes terbaharu berkenaan bukan membabitkan sindiket luar yang menyusup masuk, sebaliknya pegawai yang berada secara sah dalam sistem yang mana mereka dilatih, diberi kuasa dan diamanahkan menjaga sempadan negara.
Soalnya, jika individu dalam sistem sendiri masih sanggup bertindak seperti ‘tali barut’ di kaunter masuk negara, sejauh mana jaminan keselamatan kita terhadap kemasukan asing termasuk elemen penyeludupan, pemerdagangan dan jenayah rentas sempadan?
AKPS dalam kenyataannya menegaskan komitmen memperkukuh pemantauan dan mempertingkat kerjasama rentas agensi, namun keberanian pegawai tersebut membawa catatan pasport dan wang tunai ketika bertugas menunjukkan masih wujud jurang kawalan yang ketara.
Apa yang lebih mengundang tanda tanya adalah jika hanya seorang pegawai ditahan, dari mana datangnya senarai nombor pasport itu? Adakah beliau benar-benar beroperasi sendirian atau masih ada pihak lain yang belum dikesan?
Kes tersebut juga menjadi isyarat jelas bahawa sistem pemantauan dalaman seperti CCTV dan unit integriti mesti dipertingkat secara proaktif bukan hanya berfungsi apabila berlaku insiden.
Selagi kawalan hanya berlaku selepas kejadian selagi itulah sindiket akan sentiasa selangkah di hadapan.
Bagi pegawai tidak berintegriti selagi ada permintaan dan bayaran lumayan, pintu sempadan akan terus dibuka dari dalam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
