Perkenal bayaran tunai secara langsung langkah efektif hadapi Covid-19: Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan baharu Perikatan Nasional dicadangkan memperkenalkan inisiatif pembayaran tunai secara langsung sebagai langkah paling efektif memperteguhkan kebajikan rakyat bagi mengharungi krisis ekonomi disebabkan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Kewangan perlu meningkatkan jumlah bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) bulan Mei 2020 dan mempertimbangkan bayaran tambahan one-off (sekali bayar) untuk mereka yang layak.

Menurutnya, pihaknya turut menggesa pengumuman pakej rangsangan ekonomi sebelum gelombang kedua Covid-19 dipanjangkan bagi mendukung industri kecil dan sederhana (IKS) mendepani krisis ekonomi global ketika ini.

"Saya juga ingin menggesa insurans kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji dengan memberi keutamaan kepada sektor yang terkesan teruk akibat Covid-19.

"Selain itu, cadangan pengukuhan tindakan ekonomi termasuk pengecualian Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST) untuk semua sektor sehingga Jun 2020 dan kepada sektor yang terkesan secara langsung untuk sepanjang tahun ini, geran untuk penggunaan e-perdagangan dan khidmat penghantaran kepada semua perniagaan kecil dan sederhana serta perkhidmatan makanan dan minuman.

"Perlu juga bantuan tunai untuk IKS yang dihimpit gangguan rantaian bekalan dan penahanan pinjaman oleh bank kepada keluarga berpendapatan rendah juga dilihat sangat penting bagi membantu rakyat mengharungi krisis ekonomi ketika ini,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata, kesemua petanda kegawatan ekonomi akibat Covid-19 ini mirip kepada Krisis Kewangan Asia tahun 1997 iaitu ketika beliau berperanan sebagai Menteri Kewangan.

"Keputusan yang tegas dan sukar mesti dibuat segera oleh kerajaan hari ini,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, berharap kerajaan baharu menambah peruntukan perbelanjaan diberikan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) daripada RM150 juta diumumkan melalui pakej rangsangan ekonomi tempoh hari.

Menurutnya, penambahan peruntukan itu penting kerana kerajaan mesti terus memperkuatkan keupayaan sistem kesihatan negara bagi menampung krisis Covid-19 untuk tempoh pendek, sederhana dan panjang.

"Fungsi utama penambahbaikan pakej rangsangan bagi menyegerakan program berimpak tinggi yang bermatlamat meningkatkan keupayaan ekonomi negara.

"Ini termasuk pertambahan kelengkapan kesihatan dan prasarana untuk hospital dan klinik-klinik kerajaan, penyediaan topeng muka dan cecair pembasmi untuk rakyat dan meningkatkan pemerolehan kit ujian dan ubat-ubatan.

"Ingin saya jelaskan bahawa ini adalah tanggungjawab kerajaan, dan kerajaan haruslah memastikan ia tidak dibebankan pada rakyat," katanya.