Himpunan Turun Anwar: 'Saya tidak dijemput' - Anwar

Anwar. Foto Bernama
Anwar. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berseloroh memaklumkan bahawa beliau tidak menerima jemputan untuk hadir ke Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di ibu negara.

“Saya tidak dijemput,” katanya ringkas kepada media selepas merasmikan Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri 2025 di sini pada Sabtu.

Ahli Parlimen Tambun itu sebelum ini dilaporkan mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberikan kerjasama penuh bagi memastikan perhimpunan tersebut berlangsung dengan aman, lancar dan tanpa sebarang provokasi.

Susulan itu, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad memaklumkan bahawa sebanyak 16 laluan di sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur terlibat dengan lencongan trafik, bergantung kepada keadaan semasa.

Terdahulu, ratusan peserta Himpunan Turun Anwar anjuran pembangkang dilaporkan mula memenuhi kawasan pekarangan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman seawal jam 7 pagi.

Kebanyakan peserta mengenakan pakaian serba hitam yang tertera perkataan ‘Turun Anwar’ serta memakai lilitan kain putih di kepala sebagai simbol solidariti.

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!