'Belia diingatkan tidak terpengaruh politik kebencian' - NGO

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa turun ke program Himpunan Anak Muda Benteng Negara di Alor Setar pada Jumaat. (Gambar kecil: Datuk Zuraidi Rahim)
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa turun ke program Himpunan Anak Muda Benteng Negara di Alor Setar pada Jumaat. (Gambar kecil: Datuk Zuraidi Rahim)
A
A
A

ALOR SETAR – Rakyat terutamanya golongan belia diingatkan agar tidak terpengaruh dengan politik kebencian yang disifatkan sebagai berbahaya dan berpotensi menggugat keharmonian serta kestabilan negara.

Pengerusi Persatuan Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim menegaskan bahawa usaha menjatuhkan pemimpin melalui cara yang tidak demokratik adalah satu bentuk penghasutan yang harus ditolak.

“Kita jangan terpengaruh dengan dakyah politik yang terpesong ini.

"Mereka cuba tanam kebencian sehingga boleh pecah-belahkan rakyat dan rugikan negara.

“Hari ini ada satu program di Kuala Lumpur kononnya untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi semalam (Jumaat), anak-anak muda Kedah membuktikan sokongan luar biasa kepada beliau pada Himpunan Anak Muda Benteng Negara,” katanya pada Sabtu.

Zuraidi turut menggesa anak muda agar membuat pertimbangan sewajarnya dengan tidak menyertai Himpunan Turun Anwar di ibu negara

Menurutnya, masyarakat diingatkan agar tidak terheret ke dalam kancah politik yang sarat dengan provokasi dan emosi semata-mata.

“Kalau mahu berpolitik, ikut saluran betul. Hendak cabar Perdana Menteri, bawalah usul tidak percaya ke Parlimen, bukan dengan tindakan melulu yang boleh memecah-belahkan rakyat,” ujarnya.

Jelas beliau, mana-mana pihak yang mahu berbuat demikian perlu menggunakan saluran sah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Zuraidi turut melahirkan kebimbangan terhadap trend segelintir pemimpin politik yang didakwa cuba memanipulasi sentimen rakyat melalui propaganda yang menyemai perpecahan.

Tambahnya, belia merupakan aset penting dalam menentukan hala tuju negara dan perlu bertindak secara bijak serta matang dalam menilai setiap isu politik yang dibangkitkan.

“Politik yang berasaskan kebencian dan perpecahan bukan sahaja menjejaskan kestabilan negara malah boleh merencatkan pembangunan jika tidak dibendung.

“Persatuan Anak Muda Madani Kedah menyeru semua pihak agar memelihara semangat perpaduan dan mengamalkan politik beradab demi menjamin masa depan negara yang lebih baik,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!