Dua remaja maut motosikal langgar belakang lori

Dua remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang mereka melanggar belakang lori di Kota Tinggi. Foto IPD Kota Tinggi
Dua remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang mereka melanggar belakang lori di Kota Tinggi. Foto IPD Kota Tinggi
A
A
A

KOTA TINGGI - Dua remaja lelaki maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 60.5 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 1.24 pagi dan melibatkan dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang oleh mangsa berusia 18 dan 19 tahun serta sebuah lori yang masih belum dikenal pasti.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua motosikal yang ditunggang remaja berkenaan melanggar bahagian belakang sebuah lori.

“Akibatnya, kedua-dua mangsa dipercayai mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mereka telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut, dan dalam masa sama usaha mengesan pemandu lori terlibat sedang giat dijalankan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, denda antara RM20,000 hingga RM50,000, serta hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun.

Sementara itu, Yusof turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas demi menjaga keselamatan bersama.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Fairuz Abd Malek di talian 012-7415886,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!