Pekerja kedai makan maut motosikal langgar anjing

KUANTAN – Perjalanan pulang dua sahabat bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas motosikal dinaiki melanggar seekor anjing yang tiba-tiba melintas di Jalan Kuantan-Maran berhampiran Pondok Polis Paya Bungor di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, penunggang, Che Zaiton Ahmad, 54, yang bekerja di sebuah kedai makan, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Pembonceng, Norizura Rohani, 41, seorang suri rumah, mengalami luka pada beberapa bahagian badan dan sedang menerima rawatan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa bersama rakannya dalam perjalanan dari Temerloh menghala ke Felda Lepar Hilir sebelum melanggar anjing tersebut.
“Motosikal mangsa melanggar seekor anjing yang tiba-tiba melintas jalan menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh.
“Susulan pelanggaran itu, mangsa maut manakala pembonceng mengalami luka-luka pada beberapa bahagian badan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohd Adli menambah, pemeriksaan di tempat kejadian telah dilakukan dan motosikal terlibat akan diperiksa oleh pihak Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“Orang awam yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) IPD Kuantan bagi membantu siasatan.
“Polis menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan, khususnya di kawasan kurang pencahayaan dan berisiko tinggi berlaku kemalangan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

