80 pempengaruh berentap di Malaysia, tawan Asia melalui dunia digital

Buat kali ketiga, All Star Influencer Award (Asia2025) kembali dengan skala lebih besar apabila menghimpunkan 80 pencipta kandungan dari 20 negara Asia dan Timur Tengah.
Bukan sekadar malam anugerah semata-mata, acara berprestij ini turut menyaksikan peserta menjelajah ke lapan negeri seluruh Malaysia bagi menghasilkan kandungan kreatif yang mengetengahkan keindahan budaya, alam semula jadi serta destinasi pelancongan tempatan.
Menurut penganjur, Datuk Abd Rahman Soltan, para peserta akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan ditempatkan di dua negeri dalam tempoh tertentu bagi menyertai pelbagai aktiviti eksplorasi.

“Setiap dua negeri akan menerima 20 pencipta kandungan dalam tempoh tertentu, di mana mereka akan terlibat dalam pelbagai eksplorasi daripada makanan tempatan, seni budaya, alam semula jadi hinggalah kepada cabaran digital,” jelas beliau.
Misi digital tersebut bermula di Johor dan Pahang dari 20 hingga 25 Julai, diikuti Melaka dan Selangor dari 17 hingga 20 Ogos.
Siri jelajah diteruskan ke Pulau Pinang dan Langkawi (14–20 September), sebelum melabuhkan tirai di Sabah pada 14 hingga 17 Oktober.
Lebih menarik, Asia2025 turut menyokong Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan matlamat menonjolkan kepelbagaian budaya dan keunikan negara kepada pasaran pelancongan antarabangsa.
“Ini adalah antara platform digital terbaik untuk terus memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancongan digital dan kreatif di rantau ini.
“Gabungan pengaruh digital dan keunikan budaya tempatan dijangka meningkatkan lagi kesedaran global terhadap tarikan pelancongan Malaysia menjelang tahun 2026,” ujar Abd Rahman.
Kesemua peserta bakal berkumpul semula bagi menghadiri malam kemuncak Majlis Gala Anugerah yang dijadual berlangsung pada 19 Oktober 2025, di mana lokasi rasmi akan diumumkan kelak.
Antara ganjaran yang menanti ialah wang tunai AS$15,000 (lebih RM70,000), trofi eksklusif dan percutian mewah ke Dubai bagi juara utama. Naib juara pula bakal menerima AS$5,000 (sekitar RM23,500) bersama percutian ke destinasi sama, manakala tempat ketiga membawa pulang AS$1,000 (kira-kira RM4,700) serta pakej percutian ke Dubai.
Sebagai tambahan, sepuluh peserta terbaik akan dipilih menyertai trip eksklusif ke Dubai, ditaja sepenuhnya sebagai pengiktirafan atas kandungan luar biasa yang dihasilkan sepanjang program.
Sebanyak 13 kategori anugerah dipertandingkan bagi mengiktiraf keunikan serta kreativiti pencipta kandungan yang bertanding. Antara kategori yang menjadi tumpuan ialah Best Gourmet Award, Best Storyteller, Best Mixed Dance, Best Transition dan Best Culture Curator yang menilai kekuatan naratif, gaya penyampaian serta keaslian persembahan kandungan peserta.
Antara lain, kategori seperti Best Comedy Maestro, Best Mixed Language, Best State Compilation, Best Content Creation dan Best Influencer Award turut membuka ruang kepada peserta untuk menonjolkan kepelbagaian idea, gaya bahasa dan kreativiti dalam menampilkan Malaysia dari kaca mata mereka.
Tiga lagi kategori khas akan diumumkan menjelang malam anugerah, sekali gus menjadikan keseluruhan 13 anugerah dipertandingkan dalam edisi kali ini.
Program ini mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia, Tune Talk, Sally Beauty, Argania, Yute, AN by Harissa Adlynn dan Atlanta Resources.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

