Bayi maut digigit anjing liar: Bapa saudara direman tiga hari

SUNGAI BULOH -Seorang remaja lelaki direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kematian anak saudaranya yang dipercayai digigit anjing liar dalam kejadian di Kampung Orang Asli Sungai Buloh, di sini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, tempoh reman lelaki berusia 19 tahun itu bermula pada Jumaat.
“Polis telah menjalankan siasatan menyeluruh untuk melengkapkan siasatan.
“Polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan sekiranya mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini, boleh melaporkannya kepada balai polis berdekatan atau Hotline Balai Polis Sungai Buloh di talian 03-6156 1222,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum itu, remaja lelaki yang juga bapa saudara kepada mangsa ditahan polis pada Khamis.
Dalam kejadian pada Selasa, bayi lelaki berusia setahun tujuh bulan itu diserang ketika sedang tidur di ruang tamu rumah bersama bapa saudaranya.
Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Sungai Buloh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
