Tiada isu pengangkutan awam tergendala operasi esok – Anthony Loke

SHAH ALAM - Semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk stesen kereta api Keretapi Malaysia Berhad (KTMB) dan Prasarana akan terus beroperasi seperti biasa pada Sabtu ini, 26 Julai 2025.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kelancaran urusan rakyat pada hujung minggu tanpa diganggu oleh sebarang perhimpunan politik.
Penjelasan Ahli Parlimen Seremban itu sekali gus menjawab dakwaan terdapat sebilangan operasi stesen tren dan komuter di sekitar ibu kota dikatakan tidak dapat beroperasi sempena program Himpunan Turun Anwar atas alasan perkhidmatan tergendala.
“Kerajaan Madani mempertahankan hak untuk berhimpun, termasuk bagi mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan.
"Namun yang lebih penting adalah pengangkutan awam perlu terus berfungsi agar majoriti rakyat tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Anthony Loke turut mengingatkan orang ramai bahawa Pas MY50 kini boleh diperbaharui secara dalam talian melalui aplikasi Touch 'n Go, dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM100 daripada harga asal RM150.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan mana-mana rakyat Malaysia yang pertama kali berkunjung ke ibu negara boleh menikmati perjalanan tanpa had bagi satu hari dengan MyCity Pass yang berharga hanya RM6.
“Pas ini meliputi semua perkhidmatan LRT, MRT, BRT, Monorel dan RapidBas dan akan didigitalkan sepenuhnya menjelang hujung tahun ini,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

