Ibu maut nahas selepas jemput anak pulang dari sekolah

Zainab disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dipandu terbabas sebelum terbalik dalam semak di Kilometer 37 LTU dekat Kampung Sungai Yu pada Khamis.
Zainab disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dipandu terbabas sebelum terbalik dalam semak di Kilometer 37 LTU dekat Kampung Sungai Yu pada Khamis.
A
A
A

LIPIS - Seorang wanita dalam perjalanan pulang selepas menjemput anak dari sekolah antara dua yang maut dalam nahas berasingan di daerah ini pada Khamis.

Mangsa, Zainab Mamat, 51, dari Kampung Persit, Merapoh disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dipandu terbabas sebelum terbalik dalam semak di Kilometer 37 Laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dekat Kampung Sungai Yu di sini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 5 petang itu, dua anak mangsa, Rosnani Ruzlan, 19, dan Rosmadiha, Ruzlan, 14, selamat apabila hanya mengalami cedera ringan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, suri rumah itu dipercayai dalam perjalanan pulang selepas menjemput dua anaknya dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Lipis di sini.

Dua penumpang yang merupakan anak mangsa terselamat dalam nahas kira-kira jam 5 petang di KM 37, LTU dekat Kampung Sungai Yu di sini pada Khamis.
Dua penumpang yang merupakan anak mangsa terselamat dalam nahas kira-kira jam 5 petang di KM 37, LTU dekat Kampung Sungai Yu di sini pada Khamis.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Perodua Myvi dipandu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri dan melanggar longkang sebelum terbalik dalam semak berhampiran," katanya.

Ismail berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk proses bedah siasat manakala dua anaknya yang mengalami cedera ringan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Merapoh.

Sementara itu dalam nahas berasingan, penyelia kedai pembekal alat tulis, Wan Ahmad Kamarul Redzuan Razali, 38 dari Kuala Terengganu maut selepas skuter ditunggang terbabas sendiri di Kilometer 17, Jalan Sungai Koyan-Pos Betau hari yang sama.

Artikel Berkaitan:

Keadaan skuter ditunggang Wan Ahmad Kamarul Redzuan selepas terbabas melanggar tiang elektrik di Kilometer 17, Jalan Sungai Koyan-Pos Betau pada Khamis.
Keadaan skuter ditunggang Wan Ahmad Kamarul Redzuan selepas terbabas melanggar tiang elektrik di Kilometer 17, Jalan Sungai Koyan-Pos Betau pada Khamis.

Ismail berkata, nahas kira-kira jam 2.30 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari Putrajaya atas urusan kerja.

"Siasatan awal mendapati skuter jenis Yamaha X-Max ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar tiang elektrik ketika melalui laluan berselekoh di lokasi.

"Akibat kejadian, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," ujarnya.

Ismail berkata, kemalangan maut mengorbankan dua nyawa itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!