Perjalanan pulang dua sahabat berakhir tragedi

Keadaan motosikal mangsa yang terperosok di bawah lori dalam kejadian kemalangan di KM 48 Jalan Klang - Banting - Port Dickson pada Isnin. Foto: Tular Facebook
Keadaan motosikal mangsa yang terperosok di bawah lori dalam kejadian kemalangan di KM 48 Jalan Klang - Banting - Port Dickson pada Isnin. Foto: Tular Facebook
A
A
A

KUALA LANGAT - Perjalanan pulang dua sahabat ke rumah berakhir tragedi apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Kilometer (KM) 48, Jalan Klang–Banting–Port Dickson, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati kemalangan kira-kira jam 8.20 malam itu berlaku apabila motosikal jenis Yamaha LC135 yang dinaiki kedua-dua mangsa dari arah Tanjung Sepat menghala ke Morib dipercayai telah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bertembung dengan motosikal itu, menyebabkan kedua-dua mangsa terperosok ke bawah lori dan digilis.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, dan mayat mereka telah dibawa ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Mazrol Din di talian 011-18539115 atau 03-3187 2222, atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!