Biarlah Parlimen dijadikan dewan rakyat yang sebenar - MP Raub

KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadang supaya mewujudkan speaker corner atau ruang khas di Parlimen untuk membolehkan rakyat menyuarakan sebarang isu melibatkan kepentingan ramai melalui memorandum atau petisyen rasmi.
Chow Yu Hui (PH - Raub) berkata, penetapan sudut khas itu penting bagi memudahkan rakyat atau badan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan perkara tersebut tanpa halangan.
“Saya cadangkan penetapan satu tempat speaker corner sebagai ruang kepada rakyat untuk bersuara dalam Parlimen yang mudah diakses dan lengkap dengan mekanisme penerimaan memorandum oleh wakil kerajaan atau ahli Parlimen.
“Biarlah bangunan ini (Parlimen) dijadikan dewan rakyat yang sebenar di mana suara mereka didengari oleh semua ahli Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2023 di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Yu Hui berkata, menjadi tanggungjawab semua ahli Parlimen untuk mengambil berat suara rakyat seperti dijamin Perlembagaan.
Beliau dalam masa sama menzahirkan rasa kesal dengan insiden sekumpulan NGO yang berarak ke Parlimen pada Selasa lalu untuk menyerahkan memorandum mendesak pemansuhan Akta Hasutan kerana didakwa tidak menerima layan sewajarnya.
“Serahan memorandum atau petisyen merupakan satu amalan sihat demokrasi berparlimen
“Namun sungguh mengecewakan apabila mereka diarahkan ke satu sudut terpencil yang jauh daripada pandangan umum dan media,” kata wakil rakyat DAP itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

