Covid-19: Bursa Malaysia ditutup rendah tengah hari ini

Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini namun mencatatkan peningkatan semula
Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini namun mencatatkan peningkatan semula
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan ditutup rendah pada tengah hari ini berikutan tekanan jualan berterusan sejajar dengan prestasi lemah di pasaran serantau lain di tengah-tengah keadaan tidak menentu yang disebabkan wabak koronavirus (Covid-19) dan kebimbangan akan kemelesetan serta penurunan harga minyak dunia.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 37.10 mata atau 2.75 peratus kepada 1,307.65 daripada paras penutup 1,344.75 pada Jumaat.

Selepas dibuka turun 25.38 mata kepada 1,319.37 pagi ini, indeks petunjuk pasaran itu bergerak antara paras 1,299.42 dan 1,319.37 sepanjang sesi pagi.

Suasana pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 934 berbanding 77, dengan 142 kaunter tidak berubah, 868 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 2.01 bilion saham bernilai RM1.44 bilion.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura jatuh 3.19 peratus kepada 2,550.01, Indeks Hang Seng Hong Kong berkurangan 2.19 peratus kepada 23,507.13 dan Indeks Komposit Jakarta susut 3.36 peratus kepada 4,742.92.

Rakuten Trade Sdn Bhd berkata, dengan penurunan agresif kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada hujung minggu kepada hampir sifar, sebarang lantunan semula dijangka diimbangi dengan aktiviti jualan.

“Dinilai daripada suntikan mudah tunai terbaharu Amerika Syarikat itu, kami merasakan ini menunjukkan bahawa senario malahan lebih buruk daripada yang dijangkakan pada awalnya.

Artikel Berkaitan:

“Kami menjangkakan tekanan menurun di FBM KLCI tinggi dengan paras 1,300 sebagai paras sokongan psikologi segera. Dengan prospek kadar faedah telah jelas sekarang, seterusnya adalah untuk melihat kepada mata wang yang dijangka berdepan dengan kemeruapan tinggi,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank turun 35 sen kepada RM7.53, Tenaga susut 24 sen kepada RM11.58, Public Bank jatuh 46 sen kepada RM14.84 dan IHH berkurangan 13 sen kepada RM5.25.

Dalam kalangan kaunter cergas, Borneo Oil tidak berubah pada 1.5 sen, Bumi Armada susut 1.5 sen kepada 14.5 sen dan Velesto Energy jatuh 2.5 sen kepada 13.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 317.03 mata kepada 9,009.38, Indeks FBM Emas Shariah turun 263.80 mata kepada 9,721.19 dan FBM 70 jatuh 534.03 mata kepada 10,476.20.

Indeks FBMT 100 susut 297.09 mata kepada 8,921.87 dan FBM Ace berkurangan 308.35 mata kepada 3,983.64.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 5.99 mata kepada 104.68, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 574.56 mata kepada 12,247.78 dan Indeks Perladangan susut 51.20 mata kepada 5,796.31.-Bernama