KPDN dan SC, agensi baharu sertai NSRC

KUALA LUMPUR - Dua lagi agensi iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan menyertai Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peranan KPDN diperlukan kerana ia membabitkan elemen berkaitan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Daripada sudut operasi, kerajaan sedang meningkatkan keupayaan NSRC terutama bagi perjawatan dan penyertaan agensi, seiring aduan diterima yang kini merekodkan purata 500 panggilan setiap hari.
"Sekarang ini empat (agensi), tapi secara prinsipnya, NSRC sedia untuk menerima penyertaan dua lagi agensi iaitu KPDN terutama elemen SSM dan SC," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke NSRC di sini pada Khamis.
Saifuddin berkata, NSRC akan diterajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan peranan agensi lain masih kekal termasuk dengan pertambahan 139 jawatan baharu oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) nanti.
"Buat masa sekarang, kita buat penyusunan dalaman dulu, 40 staf daripada Jabatan Komersil (PDRM) buat arahan tugasan bagi memulakan tugasan.
"Sekarang agensi lain hantar (kakitangan). Ada elemen Bank Negara Malaysia (BNM), polis, 'calling agent' yang dilantik Bank Negara, ada juga pegawai bank.
"Tapi maksudnya nanti, NSRC ini akan ada perjawatan sendiri itu adalah yang sudah diberikan kelulusan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bulan lalu," katanya.
Pada Rabu, Saifuddin memaklumkan operasi NSRC yang kini berada di BNM dicadang untuk dipindahkan ke pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya.
Selain PDRM dan BNM, NSRC ketika ini turut disertai MCMC serta institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
