Kebangkitan dramatik iringi Tang Jie-Ee Wei ke suku akhir Terbuka China

BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memperagakan aksi menakjubkan untuk melangkah ke suku akhir Terbuka China sebentar tadi.
Pasangan nombor empat dunia itu bangkit mengatasi pasangan tuan rumah, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying secara straight set pada pertemuan pusingan kedua di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.
Tang Jie-Ee Wei dilihat hampir tewas pada set pertama apabila ketinggalan 14-20 di tangan pasangan lawan yang berada di kedudukan ke-39 dunia.
Mereka bagaimanapun bangkit meraih lapan mata berturut-turut dalam aksi dramatik untuk menang 22-20.
Momentum positif tersebut diteruskan pada set kedua sebelum mengesahkan kemenangan 21-17 dalam masa 35 minit permainan.
Pasangan tuan rumah yang berstatus kesembilan dunia, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui bakal menjadi lawan Tang Jie-Ee Wei dalam aksi suku akhir pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
