[VIDEO] Jangan pandang remeh RM100 - Anwar
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri menyelar pihak berkaitan yang memandang remeh terhadap Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 seperti diumumkan kerajaan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun jumlah itu mungkin dianggap kecil bagi mereka yang berpendapatan tinggi, namun ia membawa makna besar kepada rakyat luar bandar dan golongan berpendapatan rendah.
"Semalam saya umumkan beberapa langkah tambahan, ada yang kata RM100 je... Kamu bergaji RM20,000, RM40,000, RM100 itu tak apalah.
"Tetapi saya tahu, kalau pergi ke kampung (ada manfaatnya),” katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MoF) di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Anwar berkata bagi sebuah keluarga miskin yang mempunyai dua anak dewasa dan pasangan suami isteri, bantuan tunai itu boleh mencecah RM400 dan jika dicampur dengan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sedia ada, jumlahnya boleh meningkat sehingga RM700.

"Jadi jangan remehkan. Kerajaan tambahkan daripada peruntukan sedia ada iaitu RM13 bilion ke RM15 bilion (tambahan RM2 bilion),” kata Menteri Kewangan itu.
Kerajaan pada Rabu mengumumkan lima langkah segera bagi meredakan tekanan kos sara hidup rakyat, meskipun kadar inflasi keseluruhan Jun 2025 mencatatkan hanya 1.1 peratus, terendah dalam tempoh 52 bulan.
Ia merangkumi bantuan tunai sekali bayar RM100 untuk semua rakyat berumur 18 tahun ke atas; pengisytiharan 15 September sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena Sambutan Hari Malaysia; peruntukan penganjuran Juala Rahmah Madani ditingkatkan sekali ganda lagi menjadi RM600 juta dan penangguhan kenaikan kadar tol serta harga RON95 diturunkan kepada RM1.99 pada akhir September.
Pendekatan bersasar itu sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat dan mengurangkan pembaziran subsidi.
Sementara itu, Anwar berkata penurunan RON95 ke RM1.99 seliter serta pengekalan kadar tol membabitkan 10 konsesi lebuh raya memanfaatkan golongan M40 yang paling ramai menggunakan kenderaan seperti kereta serta melalui jalan bertol.
Beliau berkata, kekeliruan membabitkan maklumat bantuan kerajaan berpunca daripada kelemahan komunikasi dalam penyampaian.
"Sebab itu saya kata komunikasi kita (kerajaan) berkenaan (inisiatif) harus lebih berkesan.
"Kalau tengok RON95, RM1.99 seliter dan beberapa langkah lain umpamanya untuk yang M40.
"Tol, kalau kita tengok B40 kebanyakannya boleh jadi pakai motosikal, minyaknya kecil," kata Anwar.
Dalam pada itu, beliau turut membidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berhubung rasionalisasi subsidi petrol.
“Ketua parti pembangkang sebut fasal apa? Bebankan warga asing... Saya rasa aneh, apa yang kamu buat?
"Boleh tegur dan kritik tiada masalah, kita (kerajaan) bukan dera dan rampas hak mereka.
“Kita tarik, tak beri subsidi sebab di negara dia (asing) harga minyak lebih tinggi daripada RM2.50.
"Singapura,Thailand, Indonesia semua lebih tinggi. Kita tarik subsidi itu kepada warga asing, itu pun salah juga,” bidas Anwar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
