Tikam isteri 26 kali depan anak, lelaki dipenjara seumur hidup

Habibur dirakam CCTV sedang bercakap dengan isterinya sebelum kejadian. Foto Agensi
Habibur dirakam CCTV sedang bercakap dengan isterinya sebelum kejadian. Foto Agensi
A
A
A

BRADFORD – Seorang lelaki yang bercita-cita menjadi influencer atau pempengaruh media sosial dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas menikam isterinya sebanyak 26 kali dalam satu serangan kejam di hadapan anak mereka yang masih bayi.

Suspek, Habibur Masum, 27, dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sedang tersenyum hanya beberapa minit selepas meninggalkan isterinya, Kulsuma Akter, 27, yang berlumuran darah di tepi jalan di bandar Bradford, United Kingdom.

Kejadian berlaku pada 7 April 2024 ketika mangsa sedang menolak kereta sorong yang membawa bayi lelaki mereka berusia tujuh bulan sambil berjalan bersama seorang rakan.

Mangsa dibunuh secara kejam selepas menolak permintaan Masum untuk kembali kepadanya.

Masum sebelum ini digambarkan sebagai suami yang cemburu, mengongkong dan ganas.

Dalam kejadian sebelum ini pada November 2023, dia pernah mengugut isterinya dengan pisau di rumah mereka di Oldham, Manchester.

Akibat kejadian itu, Kulsuma melarikan diri dan ditempatkan di rumah perlindungan wanita di Bradford oleh pihak berkuasa sosial.

Namun, Masum berjaya menjejaki lokasi mangsa dengan menggunakan telefon bimbit.

Dia turut menghantar mesej berunsur ugutan, termasuk ancaman untuk membunuh ahli keluarga mangsa sekiranya Kulsuma enggan kembali kepadanya.

Artikel Berkaitan:

Masum juga menyamar sebagai kakitangan klinik kesihatan dan menghantar mesej palsu kononnya anak mereka mempunyai janji temu perubatan untuk memperdayakan mangsa keluar dari rumah perlindungan.

Lebih licik, dia memuat naik gambar palsu di Facebook mendakwa berada di Sepanyol bagi meyakinkan mangsa bahawa dia telah meninggalkan negara tersebut.

Namun, pada hari kejadian, Masum tiba-tiba muncul dan menyerang isterinya secara brutal.

Serangan itu dirakam CCTV dan turut disaksikan oleh orang awam berhampiran.

Masum menikam isterinya sekurang-kurangnya 26 kali sebelum memijak tubuh mangsa yang telah rebah di atas jalan.

Selepas melakukan pembunuhan, Masum dilihat menaiki bas dalam keadaan tenang sambil tersenyum, seolah-olah tiada apa-apa berlaku.

Dia berjaya melarikan diri selama dua hari sebelum diberkas oleh pihak berkuasa di sebuah tempat letak kereta berhampiran Hospital Stoke Mandeville, Buckinghamshire.

Ketika ditahan, Masum sedang mendapatkan rawatan bagi masalah lockjaw atau mulut terkunci.

Pada 19 Julai 2025, Mahkamah Mahkota Bradford menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Masum, dengan tempoh minimum 28 tahun sebelum layak dipertimbangkan untuk parol.

Dia disabitkan atas kesalahan membunuh, mengugut bunuh, menyerang dan mengintip mangsa secara berterusan.

Hakim Mr Justice Cotter menyifatkan Masum sebagai individu yang kejam, mementingkan diri sendiri dan berbahaya.

Menurut beliau, mangsa kehilangan nyawa dalam keadaan yang paling tidak berperikemanusiaan.

“Tragisnya, amat sukar untuk benar-benar melindungi seorang wanita daripada lelaki yang licik dan bertekad mencarinya walaupun telah diberi perlindungan,” katanya.

Abang mangsa, Emran Hussain berkata, kematian adiknya meninggalkan luka mendalam kepada seluruh keluarga.

“Kami tidak akan memaafkan raksasa yang telah meragut nyawa Kulsuma daripada kami,” katanya.

Sementara itu, wakil Pendakwa Raya Mahkota UK, Marie Walsh berkata, Masum adalah lelaki ganas yang menganiaya isterinya secara fizikal dan emosi.

Beliau berkata, Masum tidak dapat menerima kenyataan bahawa perkahwinan mereka telah berakhir dan memilih untuk bertindak kejam.

“Kami berharap keputusan mahkamah ini memberi sedikit ketenangan kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa,” katanya. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!