Pusat Sains Negara, Planetarium Negara tutup mulai hari ini

Planetarium Negara dan Pusat Sains Negara
Planetarium Negara dan Pusat Sains Negara
A
A
A

PUTRAJAYA - Pusat Sains Negara (PSN) dan Planetarium Negara (PN) ditutup sementara bermula hari ini sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan berkata, arahan itu dikeluarkan dalam usaha membendung kemungkinan jangkitan wabak berkenaan.

"Sebagai langkah berjaga-jaga terutama ketika musim cuti sekolah, YB Menteri MOSTI turut mengarahkan agar PSN dan PN tidak menerima kunjungan daripada orang ramai mulai awal pagi ini.

"Semua warga MOSTI termasuk PSN dan PN diingatkan agar mematuhi sepenuhnya Standard Operating Procedure (SOP) pengawalan penularan jangkitan Covid-19 yang dikeluarkan oleh KKM," katanya.

Menurut kenyataan itu, MOSTI mengambil berat berhubung penularan Covid-19 dan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mendepani gejala tersebut.

"Penjagaan kesihatan diri yang baik juga perlu diamalkan oleh semua pihak pada setiap masa dan sekiranya mengalami gejala jangkitan, diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan.

"Perkembangan terkini jangkitan Covid-19 boleh diperoleh melalui laman web rasmi KKM," katanya.

Artikel Berkaitan: