LGBT: 'Tiada tempat bagi anda di Kelantan'

KOTA BHARU - "Tiada tempat bagi anda di Kelantan."
Demikian tegas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan terhadap kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang kini menjadi isu di negeri ini.
Beliau memberitahu, ini satu amaran bahawa rakyat Kelantan memang tidak boleh menerima perhimpunan yang mempunyai kaitan dengan LGBT.
Mohamed Fadzli memberitahu, kumpulan itu berada di seluruh dunia kerana ia bukan perkara baharu.
"Benda ni bukan baharu, zaman Nabi Luth, ALLAH SWT mencela dan melaknat kumpulan ini daripada zaman Nabi Luth lagi.
"Apabila berlaku di Kelantan, ia sebagai amaran kepada kumpulan ini bahawa tiada tempat bagi mereka," katanya selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Rabu
Tambah beliau, kerajaan negeri mengambil sikap tidak menyebelahi mana-mana pihak tetapi membuktikan bahawa rakyat kelantan tidak boleh menerima perhimpunan berkenaan.
"Mungkin tempat lain tidak menjadi isu tetapi apabila berlaku sahaja di Kelantan akan menjadi satu isu besar," katanya.
Pada 17 Jun lalu, media melaporkan polis Kelantan menyerbu satu pertemuan di sebuah banglo di Kemumin dan merampas ubat HIV serta kondom kira-kira jam 1 pagi yang dikatakan dianjurkan untuk komuniti gay.
Bagaimanapun, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menolak dakwaan itu dan mendakwa bahawa program tersebut bertujuan memberikan maklumat berkaitan kesihatan seksual dan HIV, mengedar kondom serta menawarkan ujian saringan secara sukarela.
Dalam perkembangan berlainan, Mohamed Fadzli menyifatkan Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membantu rakyat mengurangkan beban terutama dalam keadaan mereka berhadapan dengan kesempitan hidup serta harga barang mahal.
Ujar beliau, Kerajaan Negeri Kelantan menyambut baik pengumuman berkenaan.
"Kita harap ada perubahan besar kepada masyarakat dan menyambut baik apa sahaja yang boleh membantu mereka," katanya.
Perdana Menteri mengumumkan beberapa inisiatif kerajaan yang boleh dimanfaatkan rakyat termasuk pemberian bantuan tunai khas secara 'one-off' kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas, 15 September sebagai cuti umum tambahan sempena sambutan Hari Malaysia dan Jualan Rahmah Madani 2025 sebanyak RM300 juta.
Antara bantuan lain ialah rakyat akan terus menikmati kadar tol yang sama apabila kerajaan menanggung kos lebih RM500 juta membabitkan beberapa lebuh raya, antaranya ialah Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
Anwar juga memaklumkan rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
