Anggota polis dilanggar pasangan kekasih disyaki bawa dadah

Tangkap layar video tular kejadian. Foto kecil: Christopher Patit
Tangkap layar video tular kejadian. Foto kecil: Christopher Patit
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berpangkat Lans Koperal dilanggar ketika mengejar sepasang kekasih yang cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan polis dalam kejadian di Bukit Rambai di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang yang tular di media sosial itu dipercayai berlaku apabila pasangan menaiki Perodua Myvi tersebut tidak memberikan kerjasama sebelum dikejar lima unit kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sejauh 13 kilometer (KM) bermula dari Pangsapuri Taman Anika hingga ke Bukit Rambai.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika dikejar polis kenderaan dinaiki pasangan berusia 26 dan 28 tahun itu turut melanggar sebuah kenderaan awam berhampiran Rumah Awam Datin Fatimah.

Menurutnya, suspek juga didakwa memandu secara melulu dan tidak berhenti semasa melalui lampu isyarat merah sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Bagaimanapun ketika di Jalan Teruna 1 Taman Bukit Rambai suspek telah mengundurkan kereta lalu melanggar motosikal URB yang ditunggang mangsa sehingga terjatuh dan mengalami kecederaan.

“Aksi mengejar suspek berakhir apabila kereta dinaiki berjaya ditahan sebelum pemeriksaan dalam kenderaan terbabit menemui dua peket lutsninar disyaki dadah jenis Heroin," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Tambahnya, turut ditemui sebuah alat penimbang dan kedua-dua ditahan untuk siasatan lanjut.

"Siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 186 dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!