Pasangan kekasih curi 26 nozel paip bomba ditahan

KUALA LUMPUR - Pasangan kekasih ditahan kerana disyaki mencuri nozel paip bomba di sebuah pangsapuri di Semenyih di sini pada 30 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan insiden itu daripada seorang lelaki yang juga penyelia pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan pada jam 10 pagi.
"Nozel paip bomba telah dipotong dan hilang, disyaki dicuri oleh individu yang tidak dikenal pasti.
"Hasil siasatan pihak polis mendapati sebanyak 26 nozel paip bomba dari tingkat lima sehingga tingkat 17 telah dicuri oleh suspek," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Naazron berkata, pihaknya mengesan satu video tular yang dipercayai rakam kamera litar tertutup di rumah berhampiran memaparkan insiden tersebut.
"Bertindak atas maklumat, kita menahan seorang lelaki dan wanita berusia 43 dan 44 tahun pada jam 10.30 malam pada Khamis.
"Suspek lelaki mempunyai tujuh rekod lampau narkotik dan satu rekod jenayah, manakala suspek wanita pula mempunyai (lapan) rekod narkotik dan (lima) rekod jenayah," katanya.
Menurutnya, ujian air kencing mendapati kedua-dua saspek positif dadah jenis methamphetamine.
"Kedua-dua suspek direman tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Naazron berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Karunagaran di talian 012-2449414 bagi membantu siasatan.
"Masyarakat dinasihatkan untuk terus menghubungi Pusat Kawalan Daerah di talian 03-8911 422 jika berlaku kejadian jenayah bagi memastikan tindakan segera dapat diambil serta mengurangkan risiko keselamatan, kerosakan dan kerugian harta awam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
