Dua beruang ceroboh sekolah, curi durian

Tangkap layar video tular menunjukkan dua ekor beruang yang berkeliaran berdekatan kawasan SK Seberang Tayor, Kemaman dan memasuki kebun untuk mencuri durian.
Tangkap layar video tular menunjukkan dua ekor beruang yang berkeliaran berdekatan kawasan SK Seberang Tayor, Kemaman dan memasuki kebun untuk mencuri durian.
A
A
A

KEMAMAN - Dua ekor beruang dikesan berkeliaran di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Tayor, di sini sebelum memasuki kebun sekolah untuk mencuri durian dalam kejadian pada Isnin.

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan guru dan murid apabila haiwan liar tersebut dilihat berkeliaran berhampiran pagar dan padang sekolah.

Menurut tukang kebun sekolah, Azmi Yaakob, 52, ketika kejadian, murid sedang menjalani latihan sukan dan segera diarahkan masuk ke kelas oleh guru demi keselamatan.

Salah seekor beruang yang berkeliaran berdekatan kawasan sekolah.
Salah seekor beruang yang berkeliaran berdekatan kawasan sekolah.

"Beruang itu agak lama berkeliaran. Sekitar jam 11 pagi, ia memanjat pagar dan masuk ke kawasan kebun untuk makan buah durian sebelum beredar ke belukar berhampiran.

"Ini kali pertama saya lihat beruang. Walaupun merangkak, saiznya sudah paras paha orang dewasa, kalau berdiri, mungkin lebih tinggi," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, dua perangkap telah dipasang di kawasan tersebut sejak akhir Mei lalu dan pemantauan berterusan dijalankan bagi menangkap haiwan berkenaan.

"Kita sentiasa mengadakan kawalan dan pemantauan berterusan bagi menangkap beruang tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai juga diminta segera menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak Perhilitan dan tidak mengambil tindakan sendiri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!