Dapat rezeki dua ekor ikan 'harga kayangan'

LIPIS - [DIKEMAS KINI] Rezeki tidak pernah salah alamat.
Itu yang boleh digambarkan terhadap seorang penoreh getah dari Kampung Limau Manis, Mela di sini yang tidak menyangka hasil menjala membawa pulangan berganda apabila berjaya menaikkan dua ikan idaman iaitu tenggalan dan kerai jelawat serentak baru-baru ini.
Mohd Ali Mohd Nor, 54, berkata, selepas menoreh getah seperti biasa, dia akan turun ke Sungai Jelai.
Namun menurut bapa kepada lima anak itu tidak menyangka ‘disapa’ rezeki luar biasa yang sangat bermakna untuk dirinya dan keluarga.
"Alhamdulillah, saya berjaya naikkan seekor tenggalan seberat 2.4 kilogram dan seekor kerai jelawat seberat 2.5 kilogram.
"Ikan itu dijual kepada peraih dengan harga setiap ikan RM140 sekilogram.
"Jadi dalam satu hari dapat hampir RM700, dapat beri sikit duit belanja untuk anak yang belajar di universiti," katanya kepada Sinar Harian.
Ujarnya, musim 'bertelur' pada masa ini menyebabkan dia dapat meraih ikan-ikan tersebut.
"Selain menoreh getah, menangkap ikan di sungai menjadi sumber pendapatan tambahan buat keluarga.
"Sepanjang meredah dan mencari rezeki di Sungai Jelai, memang banyak ikan sudah dapat antaranya ikan patin buah," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

