Kerajaan Selangor perlu beri jaminan skim SIP tak jejas hasil PBT, kenaikan caj parkir

Dari kiri, Azli, Wiliam, Chean Chung dan Chen ketika sidang media bagi menggesa penangguhan dan semakan semula Skim SIP.
Dari kiri, Azli, Wiliam, Chean Chung dan Chen ketika sidang media bagi menggesa penangguhan dan semakan semula Skim SIP.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Negeri Selangor perlu memberi jaminan bahawa pelaksanaan Skim Selangor Intelligent Parking (SIP) bermula 1 Ogos depan tidak akan menjejaskan kepentingan awam termasuk kehilangan hasil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kenaikan kadar caj tempat letak kereta.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof menegaskan, rakyat boleh menerima pelaksanaan projek tersebut sekiranya isu-isu berbangkit dijelaskan secara telus.

Menurutnya, tiga kebimbangan utama disuarakan berhubung pelaksanaan projek berkenaan, antaranya melibatkan kemungkinan kehilangan hasil kepada PBT, ketelusan dalam perkongsian pendapatan dengan pihak konsesi serta potensi kenaikan kadar caj tempat letak kereta.

"SIP ini turut melibatkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Berdasarkan pengalaman dahulu, penswastaan melibatkan konsesi pernah menimbulkan percanggahan data antara pihak swasta dan PBT, yang akhirnya memberi kesan kepada hasil yang sepatutnya diperoleh PBT.

"Dengan pelaksanaan sistem parkir pintar yang kononnya lebih efisien dan menggunakan teknologi terkini, hasil yang diperoleh PBT sepatutnya meningkat atau sekurang-kurangnya kekal. Tidak boleh sama sekali berlaku pengurangan hasil.

"Ketiganya, kebimbangan rakyat ialah sekiranya dengan adanya penswastaan ini menyebabkan kadar parking itu akan dinaikkan.

"Jadi, kita nak kepastian daripada pihak kerajaan negeri ataupun MBI untuk memberikan penjelasan ketiga-tiga perkara ini supaya rakyat boleh terima dan dibuat secara telus," katanya dalam sidang media di Parlimen, pada Selasa.

Sidang media bersama,Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong itu bagi menggesa penangguhan dan semakan semula Skim SIP tersebut termasuk mengguna pakai amalan terbaik dari segi ketelusan dan akauntabiliti.

Semua ahli Parlimen terlibat turut menggesa penubuhan jawatankuasa bebas dwipartisan bagi menjalankan semakan menyeluruh terhadap skim berkenenaan.

Artikel Berkaitan:

Azli berkata, rakyat bersikap terbuka untuk menerima pelaksanaan sistem tersebut sekiranya pihak kerajaan negeri dan Menteri Besar Selangor (Incorporated) (MBI) dapat memberikan jaminan bertulis dalam kontrak bahawa tiada sebarang pengurangan hasil kepada PBT serta tiada kenaikan caj parkir.

“Kalau diberi jaminan melalui kontrak bahawa kepentingan perkhidmatan awam tidak akan terganggu, bahkan akan ditambah baik, saya percaya rakyat boleh menerima pelaksanaan projek ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Chean Chung berkata, skim penswastaan SIP yang dicadangkan menimbulkan pelbagai kebimbangan dari sudut perundangan, komersial dan operasi.

"Secara keseluruhan, berdasarkan maklumat terhad yang didedahkan, kami bimbang bahawa skim ini lebih memberi manfaat kepada pihak swasta berbandingkan kepada hak dan manfaat yang sepatutnya dinikmati oleh PBT dan penduduk di kawasan kami.

"Gesaan ini dibuat bagi memastikan komitmen Pakatan Harapan (PH) terhadap prinsip ketelusan dan akauntabiliti dalam semua urusan kontrak kerajaan, termasuk skim penswastaan, adalah dikekalkan, terutamanya dalam konteks pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan sendiri," katanya.

Tambah beliau, sebagai contoh, di Petaling Jaya dijangka mengalami pengurangan hasil sebanyak RM10 juta setahun akibat skim tersebut.

"Kami juga mempersoalkan bagaimana pemasangan 1,800 unit kamera di tapak parkir boleh menelan kos sebanyak RM200 juta (bersamaan RM111,000 seunit).

"Justeru, kami menuntut perincian penuh berkenaan kos, termasuk perisian, operasi dan penyelenggaraan. Yang paling utama, kami memerlukan pendedahan unjuran keuntungan skim ini bagi semua pihak yang terlibat," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!