Kelantan terima royalti hidroelektrik RM12.6 juta

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan menerima kutipan hasil royalti hidroelektrik berjumlah RM12.6 juta daripada empat projek yang beroperasi di negeri ini sejak tahun 2022.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, kutipan itu diperoleh di bawah Enakmen Sumber Air Negeri Kelantan dan disalurkan melalui Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan (JSANK).
“Empat projek tersebut melibatkan kerjasama antara kerajaan negeri dengan beberapa syarikat tenaga di lokasi strategik seluruh Kelantan.
“Antaranya ialah projek di Sungai Kenerong, Kuala Krai; Sungai Brooke, Gua Musang; Pergau, Jeli; dan Sungai Rek Ulu, Kuala Krai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamaruzaman Mohamad (Gual Periok–Pas) dalam Sidang Dewan Negeri Kelantan Ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Selasa.
Setakat ini, katanya, keempat-empat projek yang sedang berjalan itu menyumbang secara langsung kepada kutipan hasil negeri.
“Jumlah terkumpul RM12.6 juta ini adalah sejak projek-projek tersebut beroperasi sepenuhnya hingga kini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

