X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Rugi RM15,000 ditipu pembekal topeng muka

Elias menunjukkan jenis topeng muka yang ditipu oleh pembekal atas talian.
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah menerima tiga laporan berkaitan penipuan pembelian topeng muka secara atas talian yang melibatkan kerugian berjumlah RM15,000 pada bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, kesemua mangsa membuat pembelian topeng muka di media sosial selepas melihat iklan yang ditawarkan oleh pembekal.

Katanya, kesemua mangsa yang berusia 30, 31 dan 40 tahun itu membuat pembelian topeng muka secara atas talian sebagai langkah pencegahan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Mereka telah membuat pembayaran secara atas talian kepada penjual namun, apabila sampai tempoh yang dijanjikan mereka tidak menerima topeng muka berkenaan,"katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, laporan itu diterima masing-masing dua di daerah Kota Setar dan satu di Kuala Muda.

"Polis sedang mengesan pembekal yang terbabit dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambahnya, beliau turut menasihatkan pengguna supaya mendapatkan bekalan topeng muka dari pembekal-pembekal yang sah bagi mengelakkan mereka ditipu.

"Situasi ketika ini menyebabkan banyak pihak cuba mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan ketika kebimbangan orang ramai memuncak akibat wabak Covid-19.

"Sekiranya ada pengguna yang menjadi mangsa penipuan pembelian topeng muka ini, segera tampil membuat laporan polis supaya kegiatan pihak tidak bertanggungjawab ini dapat dibanteras," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus