Keluarga serah siasatan kes buli kepada polis

SUNGAI PETANI - Keluarga mangsa buli yang cedera di mata akibat ditumbuk oleh rakan, menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat kes terbabit.
Salah seorang ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, kes tersebut diserahkan sepenuhnya kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Kami serahkan kepada polis dan sedang menunggu perkembangan selanjutnya... kami tidak boleh memberikan sebarang kenyataan kerana bimbang akan mengganggu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, mereka turut berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh pihak sekolah berhubung kejadian berkenaan.
“Kami telah bersemuka dengan pihak sekolah, dan mereka telah memberikan penjelasan berhubung kejadian. Kami berpuas hati dengan penjelasan tersebut,” katanya.
Difahamkan, keluarga itu telah hadir ke sekolah bagi mendengar penjelasan daripada pihak sekolah, di mana pertemuan yang sama turut dihadiri oleh anggota polis pada Selasa.
Mereka turut mengakui berpuas hati dengan jaminan keselamatan yang diberikan oleh pihak sekolah sepanjang mangsa meneruskan pembelajaran di sana.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar lelaki dari sebuah sekolah di daerah ini mengalami pendarahan dalaman di bahagian mata disyaki akibat ditumbuk oleh rakan pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 16 tahun turut mengalami sakit kepala, muntah dan bengkak pada bahagian mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

