Rasuah perolehan tender RM180j: SPRM selesai rekod keterangan 12 individu

SHAH ALAM – Seramai 12 individu selesai memberi keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan perolehan tender projek pembinaan pusat data di Johor bernilai kira-kira RM180 juta.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Zainul Darus berkata, setakat ini tiada tangkapan baharu dilakukan berkaitan kes tersebut.
“SPRM menjangkakan kira-kira 20 saksi lagi akan diambil keterangan.
“Tiga suspek iaitu pengurus projek sebuah syarikat pembinaan dan dua pengarah syarikat kini masih dalam tahanan reman, manakala seorang suspek wanita dibebaskan pada Ahad selepas tempoh reman tamat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan suspek utama bersama isteri serta dua pengarah syarikat ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

Semua suspek berusia dalam lingkungan 40 hingga 60-an ditahan menerusi Op Ways yang dilaksanakan Bahagian Siasatan SPRM di Lembah Klang pada Khamis.
Pengurus projek direman selama tujuh hari manakala isterinya direman tiga hari sementara dua lelaki berjawatan pengarah syarikat direman lima hari.
Dalam operasi itu, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang ditemui di rumah milik pengurus kontrak syarikat berkenaan.
Wang tersebut dipercayai merupakan rasuah dibayar kepada suspek sebagai balasan mendapatkan enam tender perolehan projek terbabit.
Siasatan awal SPRM mendapati suspek yang juga pengurus projek menetapkan bayaran wang rasuah 2.5 peratus bagi setiap tender perolehan projek diperoleh dua syarikat terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
