[VIDEO] Akta Perlindungan Pemberi Maklumat akan dibentang untuk bacaan kedua, ketiga
KUALA LUMPUR - Bacaan kedua dan ketiga bagi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat akan dibentangkan dalam sidang Parlimen kali ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan ini merupakan fasa 1 dalam inisiatif memperbaharui dan mengukuhkan undang-undang tadbir urus yang baik dalam sistem perundangan negara.
Menurutnya, ia khusus bagi memperkasakan perlindungan kepada pemberi maklumat dalam kes-kes berprofil tinggi, beberapa intipati cadangan telah diperuntukkan di dalam pindaan ini.
“Antaranya adalah cadangan untuk menubuhkan suatu Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat yang berperanan untuk menyelia pelaksanaan Akta ini oleh agensi penguatkuasaan, mengumpulkan statistik serta data berkaitan pendedahan dan aduan yang dibuat di bawah Akta 711.
“Pindaan fasa 1 ini juga termasuk cadangan penambahbaikan pada Seksyen 6 supaya perlindungan kepada pemberi maklumat tetap sah, meskipun pendedahan tersebut melibatkan peruntukan kerahsiaan atau tatacara khusus di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang bertanyakan status terkini dalam meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta memastikan bahawa penguatkuasaan akta ini dapat menjaga keselamatan pemberi maklumat, terutamanya dalam kes-kes berprofil tinggi.
Tambah Azalina, pindaan itu turut memperluaskan perlindungan kepada pemberi maklumat di bawah seksyen 7, dengan rujukan khusus kepada Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696] dalam subseksyen 7(3).
Ia bertujuan untuk memperjelas bahawa perlindungan kepada pemberi maklumat di bawah Akta 711 ini tidak mengehadkan atau menjejaskan sebarang perlindungan lain yang diberikan oleh undang-undang bertulis, termasuk perlindungan komprehensif di bawah Akta Perlindungan Saksi.
“Ini membolehkan pemberi maklumat yang menghadapi ancaman keselamatan untuk dipertimbangkan bagi perlindungan tambahan seperti pemindahan, identiti baharu atau langkah-langkah keselamatan lain di bawah Akta 696.
“Ia selaras dengan matlamat untuk melindungi mereka daripada sebarang risiko akibat pendedahan yang dibuat Bagaimana akta ini dapat menjaga keselamatan pemberi maklumat.
“Saya percaya bagi merealisasikan hasrat Malaysia Madani untuk meningkatkan integriti nasional, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan bagi memastikan keselamatan pemberi maklumat dijamin di bawah undang-undang,” jelasnya.
Beliau menambah, bagi menjunjung inisiatif tersebut, daripada segi kerahsiaan maklumat, seksyen 8 Akta 711 akan terus terpakai secara automatik kepada semua individu yang diiktiraf sebagai pemberi maklumat di bawah akta ini.
Justeru, identiti dan maklumat berkaitan pemberi maklumat dilindungi dan tidak boleh didedahkan tanpa kebenaran, kecuali untuk tujuan siasatan atau prosiding undang-undang, seperti yang dinyatakan secara jelas dalam akta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

