3 ketakteraturan serius babitkan nilai lebih RM460 juta dikesan dalam LKAN 2/2025

KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin mendedahkan tiga ketakteraturan serius melibatkan jumlah keseluruhan melebihi RM460 juta, membabitkan Felcra Berhad, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Tentera Darat Malaysia.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, dapatan tersebut adalah hasil audit terhadap lima pengauditan yang melibatkan tujuh kementerian dengan nilai keseluruhan program, aktiviti dan projek berjumlah RM48.87 bilion.
Menurut beliau, antara ketirisan paling ketara melibatkan Felcra Berhad, yang didapati lemah dari segi tadbir urus perolehan bagi pajakan empat ladang sawit berjumlah RM241.76 juta bagi tempoh antara 2022 hingga 2024.
“UKM pula berdepan isu ketakteraturan serius dan kelemahan dalam proses perolehan yang membabitkan tiga tender bernilai RM58.45 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Selain itu, Tentera Darat Malaysia turut terpalit isu kelemahan dalam pentadbiran kontrak dan pengurusan perolehan bagi kenderaan perisai sepanjang tempoh 2020 hingga 2023.
“Ia melibatkan denda RM162.75 juta yang masih belum dikutip serta denda RM1.42 juta yang belum dikenakan terhadap syarikat kerana kelewatan perkhidmatan senggaraan,” ujarnya.
Tambah Wan Suraya, pihaknya turut mengesan bahawa perolehan perkhidmatan senggaraan, pembaikan dan pembekalan alat ganti kenderaan perisai bernilai RM107.54 juta telah dilaksanakan secara pecah kecil, yang bercanggah dengan tatacara kewangan yang sepatutnya.
Sebanyak 22 syor audit telah dikemukakan kepada kementerian, jabatan dan syarikat yang terlibat bagi tujuan penambahbaikan dan langkah pembetulan.
Menurutnya lagi, hasil audit yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) bagi tempoh 2024 hingga Jun 2025 telah membantu kerajaan memperoleh semula RM157.73 juta, termasuk kutipan penalti, cukai dan denda.
Laporan penuh boleh diakses oleh orang awam mulai jam 10 pagi Isnin menerusi laman sesawang rasmi: http://lkan.audit.gov.my dan https://agdashboard.audit.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

