7 strategi Hajiji lonjak dagangan lebih RM100 bilion

SABAH kini berada pada landasan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh hasil tujuh pembaharuan strategik yang diperkenalkan di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pembaharuan tersebut merangkumi aspek hasil negeri dan dagangan; projek infrastruktur asas; logistik dan pelabuhan; kebajikan dan bantuan rakyat; pendidikan teknikal dan belia; tadbir urus dan ketelusan serta pemeliharaan warisan dan identiti Sabah.
Kesemua langkah ini bukan sahaja memperkukuh asas ekonomi negeri, malah memperlihatkan impak jelas kepada kesejahteraan rakyat, selain meletakkan Sabah sebaris dengan negeri-negeri yang lebih maju daripada segi perancangan pembangunan jangka sederhana dan panjang.
Pertumbuhan hasil negeri yang melonjak melebihi RM6 bilion, kemajuan logistik termasuk pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, lonjakan pelaburan dan pencapaian dagangan melebihi RM100 bilion selama tiga tahun berturut-turut adalah bukti nyata bahawa pembaharuan tersebut menghasilkan kesan langsung kepada Sabah secara keseluruhannya.
Pakar Ekonomi dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Berhad, Dr Firdausi Suffian menyifatkan bahawa pendekatan kerajaan negeri dalam memperkasa tadbir urus pelaburan, membangunkan Program Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara agresif serta mengekalkan identiti budaya yang pelbagai merupakan antara kekuatan sebenar Sabah yang wajar terus dipertahankan.

“Ini adalah antara dasar dan strategi yang memberikan kekuatan asas kepada Sabah untuk keluar daripada belenggu pembangunan tidak seimbang dan seterusnya melonjak ke tahap pertumbuhan mampan dan lestari,” katanya kepada Sinar Harian.
Nilai dagangan tertinggi sejak pembentukan Malaysia
Beliau menjelaskan, daripada segi indikator makro, Sabah mencatat nilai dagangan melebihi RM100 bilion selama tiga tahun berturut-turut iaitu RM118 bilion pada 2022, RM104 bilion (2023) dan RM107 bilion setakat 2024, sesuatu yang pertama kali berlaku sejak pembentukan Malaysia.
Perkembangan ini turut didorong oleh nilai pelaburan tinggi dalam lima tahun terakhir, khususnya pada tahun 2022 dan 2023 yang mencatat lebih RM11 bilion.
Malah, pada suku pertama tahun ini, Sabah menduduki tempat ketiga destinasi pelaburan negara secara keseluruhan dan tempat pertama bagi sektor pembuatan.
Selain itu, hasil negeri turut menunjukkan pertumbuhan ketara iaitu daripada hanya RM3.9 bilion hingga RM4 bilion sebelum tahun 2020, meningkat kepada RM5 bilion selepas pandemik, diikuti RM6 bilion dan mencecah RM6.8 bilion pada tahun 2024.
“Sekiranya momentum ini dikekalkan, Sabah berpotensi untuk merekodkan RM8 bilion hasil negeri tahun ini, sekali gus menjadikannya negeri kedua tertinggi hasil selepas Sarawak.
“Pertumbuhan ini adalah hasil pelaburan dan perdagangan yang diperkukuh dengan langkah desentralisasi oleh kerajaan Pusat seperti pengurusan peruntukan bawah RM50 juta dan kawal selia agregator gas oleh kerajaan negeri seterusnya membolehkan negeri mengurus sendiri pelesenan dan pengedaran sumber minyak dan gas dengan lebih efisien,” ujar beliau.

Tambah Firdausi, bagi mengurus sumber secara lebih cekap, Sabah turut memeterai Perjanjian Komersial Kolaboratif (CCA) bersama Petronas, yang menjadi pemangkin kepada penubuhan SMJE.
Ini penting memandangkan hampir satu per empat daripada eksport negeri Sabah terdiri daripada komoditi minyak dan gas.
Dalam aspek infrastruktur asas pula, kerajaan negeri kini mendapat peruntukan pembangunan tertinggi dalam sejarah Sabah iaitu RM6 bilion.
“Pendekatan ‘whole of government’ yang menyelaras kerajaan negeri, Pusat dan pihak berkuasa tempatan mempercepat pelaksanaan projek seperti jalan raya, klinik dan sekolah terutamanya di pedalaman.
“Pelaksanaan ini mengambil masa, namun ia penting dalam menjamin kemudahan asas sampai kepada rakyat secara menyeluruh,” jelas beliau.
Perkukuh tadbir urus
Selain itu, kemajuan infrastruktur logistik juga dipacu melalui projek Lebuh Raya Pan Borneo yang kini telah siap hampir 80 peratus.
Jalan utama ini dilihat sebagai pemangkin perhubungan antara daerah yang bakal merancakkan lagi rantaian bekalan dan aliran perdagangan domestik.
Di samping itu, kerja-kerja penambahbaikan pelabuhan juga sedang dijalankan bagi meningkatkan kecekapan penghantaran barangan.
Dalam konteks pembangunan rakyat, pelbagai inisiatif kebajikan diperkenalkan seperti program Bakti, Budi dan Sukses yang memberi manfaat kepada golongan B40 dan masyarakat luar bandar.
Tindakan ini penting khususnya dalam kawasan pedalaman Sabah yang sebelum ini kurang mendapat akses kepada pendidikan, kesihatan, air bersih dan perkhidmatan asas.
“Dalam usaha meningkatkan mobiliti sosial dan pembangunan modal insan, pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) telah dijadikan salah satu keutamaan kerajaan negeri.
“Contohnya melalui kerjasama strategik bersama Energy Commission of Sabah (ECOS) dan Institut Latihan Teknik dan Perdagangan, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (ILTP, JPSM), lebih ramai anak muda diberi peluang memperoleh latihan kemahiran teknikal yang menepati kehendak industri tenaga dan kejuruteraan.
“TVET juga dilihat sebagai laluan pantas untuk pembangunan sumber manusia tempatan tanpa perlu berhijrah ke negeri lain,” katanya.
Menurut beliau, bagi memperkukuh tadbir urus pelaburan pula, kerajaan negeri telah mewujudkan Invest Sabah Berhad sebagai one-stop centre atau pusat sehenti pelaburan bagi mempercepatkan proses permohonan serta memudahkan urusan dengan pelabur tempatan dan antarabangsa.
Sebelum ini, pelabur tidak tahu saluran yang jelas untuk berurusan, namun kini semuanya dapat diselaras melalui satu saluran rasmi.
Di samping itu, kerajaan negeri turut menubuhkan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) dan menilai keberkesanan pelaksanaan dasar pembangunan.
Menurutnya, kementerian-kementerian di peringkat negeri turut tertakluk kepada KPI yang dipantau secara berkala, bagi memastikan setiap perancangan bukan sekadar di atas kertas tetapi mempunyai kemajuan yang dapat dilaporkan secara berkala.
“Dalam aspek warisan dan identiti negeri, Sabah kekal komited mengekalkan prinsip ‘unity in diversity’ yang menjadi kekuatan sosialnya.
“Dengan lebih 33 etnik dan pelbagai loghat yang wujud di negeri ini, program seperti Kaamatan, Regatta Lepa dan terjemahan al-Quran dalam bahasa Dusun menjadi manifestasi kepada keunikan masyarakat Sabah yang hidup dalam keharmonian walaupun berbeza latar belakang,” ujar beliau.
Firdausi menyifatkan pendekatan holistik ini menunjukkan Sabah sedang beranjak daripada fasa pertumbuhan kepada pembangunan menyeluruh.
Melihatkan hasil negeri yang kini stabil dan reformasi institusi yang sedang berjalan, Sabah berpotensi mengikuti jejak Sarawak dalam membangunkan negeri melalui lebihan hasil.
Bagaimanapun, katanya, cabaran utama kekal daripada segi pelaksanaan berkesan, penyelarasan dasar serta memastikan pembangunan sampai ke akar umbi, khususnya masyarakat pedalaman.
Beliau menegaskan, kekuatan Sabah bukan sekadar pada sumber asli semata-mata, tetapi pada keupayaan kepimpinan negeri dan penyelarasan antara agensi yang mampu mentransformasi hasil kepada kesejahteraan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
