Berang lamaran ditolak, datuk 60 tahun culik pelajar

Seorang datuk ditahan selepas menculik pelajar yang menolak lamaran cintanya. Foto hiasan
Seorang datuk ditahan selepas menculik pelajar yang menolak lamaran cintanya. Foto hiasan
A
A
A

SULAWESI SELATAN – Seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun dikenali sebagai SR mencetuskan kegemparan apabila ditahan polis kerana menculik seorang pelajar perempuan sekolah menengah pertama (SMP) selepas cintanya ditolak berulang kali.

Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai AN merupakan jiran kepada suspek.

Kejadian berlaku pada Isnin, 14 Julai 2025, sejurus selepas mangsa pulang dari sekolah.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bone, AKP Alvin Aji Kurniawan, suspek tidak bertindak bersendirian, sebaliknya dibantu oleh empat individu lain termasuk seorang pesara pegawai awam.

“SR meluahkan hasrat untuk berkahwin dengan mangsa, namun ditolak oleh keluarga mangsa.

“Disebabkan rasa malu dan kecewa, dia bertindak menculik mangsa,” katanya kepada wartawan pada Sabtu.

Dalam kejadian tersebut, mangsa diseret secara paksa ke dalam sebuah kereta yang dipandu oleh salah seorang suspek, manakala SR mengacukan parang sebagai ancaman.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian tidak berani campur tangan kerana takut kepada senjata yang digunakan,” tambahnya.

Alvin memaklumkan bahawa AN berjaya diselamatkan dalam tempoh kurang empat jam selepas insiden penculikan berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Mangsa ditemukan dalam keadaan selamat di Desa Cinnong, Amali, masih lengkap berpakaian seragam sekolah.

“Namun, beliau kini menerima rawatan psikologi oleh Unit Perkhidmatan Perempuan dan Kanak-Kanak (PPA) Polis Bone kerana mengalami trauma,” ujarnya.

Kelima-lima suspek kini ditahan dan sedang disiasat di Balai Polis Bone. Mereka bakal berdepan pertuduhan yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!