Polis siasat punca kematian pelajar jatuh bangunan asrama sekolah

PAPAR – Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kematian seorang pelajar Tingkatan Satu yang dilaporkan terjatuh dari bangunan asrama di sebuah sekolah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kematian pelajar perempuan berusia 13 tahun yang menetap di asrama sekolah berkenaan.
"Pelajar terbabit ditemui dalam longkang berhampiran asrama kira-kira jam 3 pagi.
"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari Khamis," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
"Bagaimanapun, pihak polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," jelasnya.
Dalam pada itu, Kamaruddin menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis dan menghormati privasi serta perasaan ahli keluarga mangsa yang sedang berduka.
"Sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di talian 088-912222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
