Terapi berkuda di YOKUK

A
A
A

BERKUDA amat baik untuk kesihatan manusia kerana ia bermanfaat untuk seluruh anggota badan dari kepala hingga ke kaki.

Aktiviti menunggang kuda mampu merangsang dan menguatkan otot, terutama pada bahagian paling dalam seperti otot pelvik dan tulang belakang. Ini kerana semasa galloping atau bergalop, iaitu pergerakan kuda melompat dan berlari, tulang belakang kita bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni dan ini merangsang saraf-saraf tulang belakang, seolah-olah diurut.

Rasulullah SAW juga telah bersabda, “Lemparkanlah (panah) dan tunggangilah (kuda).” (Riwayat Muslim)

Terapi berkuda adalah salah satu bentuk terapi yang melibatkan penggunaan kuda dalam rawatan pemulihan dan ia dilaksanakan oleh petugas yang terlatih dalam bidang pengurusan dan latihan berkuda.

Lanjutan daripada manfaatnya ke atas otot dan tulang belakang, terapi berkuda membantu meningkatkan keseimbangan badan, mengurangkan kekejangan otot, meningkatkan tumpuan, keyakinan diri, dan lain-lain.

Ia sesuai untuk mereka yang telah diserang strok dan juga mereka yang menghidap palsi serebrum (cerebral palsy); sindrom Down; ADHD (Gangguan Hiperaktif dan Kurang Tumpuan), sejenis gangguan psikologi yang boleh menyebabkan masalah pembelajaran, dan sebagainya.

Mungkin ramai yang kurang peka tentang potensi keberkesanan terapi berkuda atau hippoterapi. Ia telah terbukti mampu meningkatkan kemampuan fizikal golongan orang kurang upaya (OKU). Terapi berkuda melatih OKU mengawal postur, reaksi dan koordinasi. Ini seterusnya memberikan manfaat ke atas psikologi, pertuturan dan bahasa mereka. OKU yang duduk di atas pelana, secara semula jadi akan belajar dan bertindak balas terhadap setiap pergerakan kuda itu mengikut gerakan irama hasil pergerakan kuda.

Kalaupun ramai yang mengetahui kebaikan berkuda untuk kesihatan, masih ada persepsi bahawa aktiviti berkuda sesuai bagi golongan mewah atau kelas atasan sahaja.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana ia melibatkan kos yang agak tinggi. Harga seekor kuda boleh mencecah ribuan ringgit, apatah lagi untuk menjaga dan memeliharanya. Sekiranya hendak menunggang kuda di mana-mana ladang kuda atau pusat riadah atau program tertentu pun biasanya memerlukan bayaran dan masa juga terhad.

Sebab itulah golongan OKU di Kelantan sangat beruntung kerana Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) yang bertempat di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, memberikan perkhidmatan terapi berkuda secara percuma kepada semua pelanggannya, iaitu mereka yang berdaftar dengan YOKUK.

YOKUK yang dipengerusikan oleh Datin Suliana Shamsuddin Alias yang juga Pengarah Eksekutifnya merupakan sebuah badan amal yang menawarkan perkhidmatan kepada golongan OKU di Kelantan dengan objektif untuk membantu meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Terapi berkuda merupakan satu daripada pelbagai perkhidmatan yang diberikan secara percuma di YOKUK. Terapi berkuda di YOKUK biasanya dikendalikan oleh juruterapi terlatih dengan menggunakan antara tiga ekor kuda yang juga terlatih. Tiga orang juruterapi diperlukan untuk mengendalikan setiap sesi terapi dan setiap sesi memakan masa antara 15-30 minit termasuk aktiviti di atas kuda.

Selain terapi berkuda, YOKUK juga menyediakan terapi cara kerja dan fisioterapi, terapi sensori, terapi air dan terapi pasir. Semuanya diberikan secara percuma hasil tajaan beberapa syarikat korporat.

Semoga lebih banyak syarikat swasta dan badan korporat turut serta menjadi penaja agar YOKUK boleh terus menambah baik perkhidmatan yang disediakan.

Diharapkan lebih banyak juga pihak yang dapat mencontohi inisiatif seperti yang dijalankan di YOKUK.

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan