Kumpulan Wannabes gegar dunia selepas tampil di BGT

Kumpulan Wannabes dianggotai (dari kiri) Chiro, Gon dan Guri.
Kumpulan Wannabes dianggotai (dari kiri) Chiro, Gon dan Guri.
A
A
A

SIAPA sangka niat asal sekadar mahu keluar daripada belenggu kemiskinan, kini kumpulan komedi dari Jepun, Wannabes menjadi perhatian dunia gara-gara aksi mereka yang luar biasa.

Ditubuhkan 20 tahun lalu, kumpulan ini mengetengahkan konsep komedi fizikal dan kini semakin dikenali selepas kemunculan mereka dalam program popular Britain’s Got Talent (BGT) pada April lalu.

Anggotanya, Gon berkata, sejak penyertaan itu, mereka tidak menang tangan menerima undangan dari seluruh pelosok dunia.

“Ramai orang berebut mahukan kami dari seluruh dunia. Peminat dari Amerika Syarikat, Filipina, Itali dan Sepanyol mahu kami adakan persembahan di sana. Program BGT telah berjaya menarik perhatian luar biasa.

“Kami juga bakal mengadakan persembahan yang jauh lebih besar nanti tetapi biarlah kami rahsiakan dahulu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Japan Expo Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Jumaat.

Menariknya, Wannabes bukan sekadar menghibur penonton secara langsung malah turut berkongsi kandungan menerusi saluran YouTube rasmi mereka, Bicsmalln.

Kata Gon, kekuatan mereka terletak pada keunikan gaya persembahan yang tidak bersandar pada dialog, sebaliknya hanya dengan ekspresi dan aksi fizikal semata-mata.

Antara aksi yang boleh dilakukan oleh kumpulan Wannabes.
Antara aksi yang boleh dilakukan oleh kumpulan Wannabes.

Artikel Berkaitan:

“Kami boleh katakan, kami adalah yang pertama melakukannya dan tiada siapa boleh menirunya kerana kami yang memulakannya. Jadi, kami memang tiada pesaing dan satu-satunya kumpulan yang melakukan aksi sebegini sekarang.

“Untuk mendapatkan idea, kami hanya perlu mencuba apa sahaja kerana persembahan kami tidak memerlukan dialog. Tiada format atau templat tertentu yang boleh digunakan dan pasti berhasil.

“Selalunya kami akan mencuba dahulu dan melihat reaksi penonton yang menyaksikan persembahan kami,” katanya.

Asalnya, Wannabes hanya terdiri daripada Gon dan Chiro, namun kira-kira enam tahun lalu, mereka membuka ruang buat seorang lagi anggota, Guri untuk menyertai kumpulan itu.

Kata Chiro, keputusan itu dibuat selepas melihat semangat luar biasa yang ditunjukkan Guri yang turut mempunyai latar belakang kehidupan yang mencabar.

“Dia masih muda dan jurang umur kami lebih 15 tahun. Kami tersentuh kerana dia juga datang daripada keluarga miskin ingin berjaya dan memang meminati kami sejak kecil lagi,” katanya.

Wannabes membuat persembahan selama tiga hari berturut-turut sempena Japan Expo Malaysia 2025 yang berlangsung di Dewan 1, KLCC dan akan berakhir hari ini (Ahad).

Acara tahunan itu turut menampilkan deretan artis terkenal dari Jepun antaranya Manaka Inaba, Leon Niihama, Enishi, Rina-Hime, Jei, Nico serta nama tempatan seperti Kyoto Protocol, KLP48, DJ Blink dan ramai lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!