Pemandu pikap tular: Suspek dakwa kejar masa pulang ke rumah bawa ibu ke hospital

KLANG – Lelaki yang tular kerana memandu secara agresif dan menghimpit sebuah kereta di Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara, Khamis lalu mendakwa tergesa-gesa mahu ke rumah ibunya yang terjatuh sebelum membawa wanita itu ke hospital.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, lelaki berusia 29 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara kira-kira jam 10 malam pada Sabtu.
"Suspek tampil untuk membuat laporan polis dengan ditemani peguamnya berhubung kejadian.
"Suspek memaklumkan dia tergesa-gesa ketika kejadian kerana baru menerima panggilan memaklumkan ibunya terjatuh di rumah lalu bergegas pulang untuk membawa wanita itu ke hospital," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, suspek kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibawa menjalani ujian air kencing.
"Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang pengambilan dadah dan telah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 3 pagi hari yang sama.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes kini diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa pihak polis sedang mengesan pemandu pikap terbabit selepas insiden tular itu berlaku dalam keadaan lalu lintas yang sesak pada Khamis lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

