Perpaduan masyarakat terus diperkukuh - Aaron

Anwar (empat dari kanan) bersama Aaron (tiga dari kanan) ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan di pekarangan Stadium Batu Kawan pada Sabtu.
Anwar (empat dari kanan) bersama Aaron (tiga dari kanan) ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan di pekarangan Stadium Batu Kawan pada Sabtu.
A
A
A

BATU KAWAN – [DIKEMAS KINI] Kementerian Perpaduan Negara terus komited memperkukuh semangat perpaduan, kenegaraan dan kesukarelawan dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi pelbagai inisiatif berterusan.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, usaha tersebut digerakkan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Dasar Perpaduan Negara yang menjadi tunjang kepada perpaduan nasional.

Menurutnya, pada tahun 2023, kementeriannya telah memperkenalkan Kerangka Perpaduan Membangun Malaysia Madani yang menjadi asas pendekatan strategik kementerian berteraskan nilai-nilai Madani.

“Pendekatan ini memberi fokus kepada Perpaduan Dalam Kepelbagaian yang menekankan penghayatan semula Rukun Negara termasuk lafaz penuh ikrar Rukun Negara di sekolah, institusi pengajian tinggi, majlis rasmi kerajaan, Parlimen dan kini turut diperluaskan ke beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Aaron ketika berucap pada Majlis Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 di pekarangan Stadium Batu Kawan pada Sabtu.
Aaron ketika berucap pada Majlis Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 di pekarangan Stadium Batu Kawan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 di pekarangan Stadium Batu Kawan di sini pada Sabtu.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; serta Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Aaron berkata, tahun ini kementerian memperkenalkan tema Harmoni Dalam Kepelbagaian bagi meningkatkan keharmonian antara penganut agama di negara ini.

“Malaysia ialah negara majmuk. Perpaduan hanya dapat dicapai melalui penerapan nilai faham, hormat dan terima antara satu sama lain dalam menuju keharmonian bersama,” katanya.

Mengulas mengenai Indeks Perpaduan Nasional (IPNas), beliau berkata, kajian IPNas kini sedang dilaksanakan buat kali ketiga dan kementerian menjangkakan skor sekitar 0.7, menggambarkan tahap perpaduan rakyat Malaysia yang masih kukuh.

“Indeks ini menilai hubungan antara etnik, persepsi terhadap identiti nasional dan kepercayaan sosial.

“Ia menjadi rujukan utama kementerian dalam merangka dasar dan inisiatif untuk memperkukuh perpaduan negara,” ujarnya.

Menurut beliau, sejak 2023, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dalam membina negara bangsa sebagai matlamat utama perpaduan nasional.

“Malah, pembinaan negara bangsa kini diangkat sebagai salah satu teras dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Kementerian kini giat mengadakan sesi libat urus di seluruh negara bagi merangka Pelan Tindakan Pembinaan Negara Bangsa, sebelum menganjurkan Persidangan Pembinaan Negara Bangsa pada Oktober ini,” tambahnya.

SMP 2025 yang berlangsung dari 17 hingga 20 Julai di sini menjadi platform interaksi dan tapak integrasi untuk menyemarakkan semangat perpaduan serta memperluas pengetahuan terhadap kepelbagaian adat, budaya dan tradisi masyarakat Malaysia.

Terdapat lebih 40 aktiviti utama diadakan, antaranya Pameran Rumah KAMI (etnik), Pameran Perkampungan Rumah Etnik Kadazan Dusun & Orang Asli, Foodunites, Pameran Susur Masa, Pameran Malaysia Tanah Airku dan sukan tradisional.

Turut diadakan ialah Jualan Usahawan Perpaduan, Pertandingan Boria, Pertandingan Busana Etnik, Pertandingan Tarian Etnik, Pesta Buku serta Persembahan Kebudayaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!