'Kematian yang dicemburui' – ADUN Dong kenang pemergian Imam Masjid Felda ketika solat Jumaat

RAUB – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal menyifatkan pemergian Imam Masjid Ar-Rahmat, Felda Lembah Klau, Allahyarham Tengku Badri Tengku Jaafar, 60, di sini pada Jumaat sebagai satu kematian yang dicemburui.
Fadzli yang juga Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook miliknya, selepas Allahyarham Tengku Badri menghembuskan nafas terakhir ketika mengimamkan solat Jumaat di masjid berkenaan.
“Pemergian Allahyarham menghadap Ilahi ketika menjadi imam dalam solat Jumaat pastinya menjadi impian ramai orang.
“Rezeki Allahyarham dapat meninggalkan dunia ini dengan cara yang begitu sempurna. Rezeki kita bagaimana pula nanti,” katanya.
Fadzli turut hadir ketika jenazah disolatkan di masjid tersebut dan pengebumian dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lembah Klau.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari, Allahyarham yang merupakan anak kelima daripada 12 beradik itu dilaporkan rebah sebelum meninggal dunia, dipercayai akibat serangan jantung.
Allahyarham juga difahamkan mempunyai sejarah penyakit lemah jantung.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam masjid turut merakam detik menyayat hati itu apabila Allahyarham dilihat baru sahaja bangkit dari rukuk sebelum rebah ketika ingin sujud.
Pemergian Allahyarham turut tular di media sosial dan mendapat perhatian warga maya yang mengucapkan takziah serta menyatakan rasa cemburu dengan cara pemergian imam tersebut yang disifatkan sebagai husnul khatimah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

